Kenyataan Akhbar

Isu tawaran Jho Low: Kabinet perlu terus tolak sebarang tawaran – Lim Lip Eng

Kenyataan media ahli parlimen Kepong, Lim Lip Eng pada hari Sabtu 16 Julai 2022 di Kuala Lumpur:

Hari ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan berita berkenaan RM1.5B yang ditawarkan kepada kerajaan Malaysia oleh Jho Low bagi membersihkan namanya di dalam kes penggubalan wang 1MDB.

Namun begitu, saya berbangga dengan pendirian tegas kerajaan Malaysia untuk tidak menerima tawaran yang dianjurkan oleh penjenayah terkemuka dan dikehendaki ini. Sekiranya tawaran ini diterima dan kesalahannya diampunkan, maka dengan secara terangnya kerajaan Malaysia adalah sebuah kerajaan yang kleptokratis dan pincangnya sistem keadilan negara.

Dalam masa yang sama, penerimaan tawaran seperti ini juga akan mewujudkan duluan di mana siapa-siapa sahaja yang melakukan jenayah boleh diampunkan sekiranya individu terbabit dapat membayarkan sesuatu sebagai tanda pertukaran. Jenayah bukanlah sesuatu yang boleh diampunkan dengan begitu sahaja, lebih-lebih lagi jenayah rasuah dan membabitkan kecurian harta negara. Jika kita buat perbandingan, apakah seorang ibu yang mencuri susu tepung bayi untuk membuat susu bagi anaknya yang lapar boleh mendapat peluang yang sama? Apakah boleh untuk saya merompak RM45B duit rakyat dan memulangkan semula RM15B dan meminta bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas untuk mewakili saya? 

Perlu kita ingat bahawa kes rasuah 1MDB adalah kesalahan jenayah yang bukan sahaja merosakkan institusi-institusi kebangsaan dan juga maruah negara, malahan kehidupan rakyat Malaysia juga terpalit dengan kesan buruk kes ini. 

Selain itu, adalah mengejutkan juga Menteri Undang-Undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak tahu menahu berkenaan duit yang ditawarkan oleh Jho Low. Jelas di sini, perkara ini tidak dibincangkan di dalam mesyuarat kabinet. Oleh yang demikian, melihat kepada keseriusan isu ini, adalah penting bagi kata putus rasmi dilakukan oleh kabinet dan kabinet menteri digesa untuk menolak segala tawaran yang diberikan oleh Jho Low di dalam mesyuarat kabinet seterusnya. Kenyataan rasmi seperti ini daripada kerajaan Malaysia penting bagi memastikan Malaysia dapat memberikan mesej yang jelas kepada semua institusi kewangan dan bidang perdagangan. Setiap jenayah itu pasti ada balasannya lambat laun juga. – Roketkini.com