Kenyataan Akhbar

Komitmen Kerajaan Malaysia terhadap polisi perubahan iklim

Kenyataan Media oleh Jamaliah binti Jamaluddin, ADUN Bandar Utama

Beberapa hari lepas, Kerajaan Britain telah mengisytiharkan darurat kebangsaan apabila gelombang haba yang melampau melanda Eropah. Perisytiharan dibuat berdasarkan Tahap Amaran Gelombang Haba yang telah ditetapkan dalam Pelan Gelombang Haba England. Tidak lama selepas itu, Mahkamah pula memerintahkan Kerajaan United Kingdom untuk menjelaskan secara terperinci bagaimana sasaran dasar sifar bersih dapat dicapai. Bayangkan, sebuah Kerajaan kalah apabila dicabar di Mahkamah oleh aktivis alam sekitar kerana gagal menyediakan polisi yang diperlukan untuk memastikan janji tentang pengurangan pelepasan karbon di Akta Perubahan Iklim 2008 dapat dicapai.

Kembali ke Malaysia, Kerajaan kita di Pahang pula bertindak menyaman aktivis alam sekitar kerana bersuara tentang isu pembalakkan. Ini jelas menujukkan betapa  berbezanya komitmen negara kita terhadap isu perubahan iklim dan alam sekitar berbanding dengan negara luar.

Di negara luar, sudahpun terdapat sistem untuk mengukur tahap keseriusan bencana alam bagi memastikan terdapatnya perancangan yang lebih baik untuk pengurusan bencana. Sudahkah negara kita juga menyediakan sistem sebegitu bagi mengenal pasti tahap kebarangkalian cuaca melampau? Sekiranya ada, adakah kita mempunyai amalan penggunaan sistem pengukuran dengan cekap dan berkesan?

Di negara luar juga, Kerajaan sudahpun menyusun pelan mitigasi dan adaptasi sebelum perubahan cuaca melampau berdasarkan ukuran tahap keseriusan yang telah ditetapkan. Bagaimana pula dengan  Kerajaan Malaysia?

Di negara luar, Kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap polisi yang telah diumumkan. Malah, Kerajaan boleh dihukum sekiranya mereka tidak mampu menjelaskan langkah-langkah ke arah pencapaian polisi tersebut. Adakah kemungkinan negara kita juga mempunyai amalan semak dan imbang yang sebegitu cekap satu hari nanti?

Pada Sidang Dewan kali ini, Kerajaan Negeri Selangor akan membentangkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang melibatkan pelbagai inisiatif bagi menangani isu perubahan iklim. Harapan saya, insiaitif – inisiatif ini akan melibatkan; 1) cara pengukuran terhadap isu perubahan iklim; 2) pelan adaptasi dan mitigasi yang dirancang awal sebelum berlakunya bencana alam akibat perubahan iklim;  3) melibatkan pelan pencegahan yang terperinci bagi mengendalikan isu perubahan iklim; 4) insentif-insentif yang mengalakkan penglibatan semua sektor korporat dalam usaha menangani isu perubahan iklim 5) KPI dan langkah-langkah yang terperinci bagai mencapai pelepasan “sifar bersih” karbon.

Usaha untuk menangani isu perubahan iklim ini adalah tanggungjawab bersama. Tetapi sebagai Kerajaan, tanggungjawab besar digalas untuk memastikan alam sekitar tidak tergadai. – Roketkini.com