Berita

Pulau Pinang tidak ambil tindakan pawagam tayang ‘Tanda Putera’

lge-ppGEORGE TOWN, 30 OGOS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan mengambil tindakan terhadap pawagam yang mengabaikan nasihat supaya filem “Tanda Putera” yang penuh pembohongan, menyerang kumpulan minoriti dan beribu rakyat Malaysia yang tidak bersalah terbunuh ketika tragedi 13 Mei 1969 ditayangkan di negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, memandangkann isu itu membabitkan sejarah kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab moral untuk mengambil pendirian jelas dan nyata menentang sebarang usaha bagi menulis sejarah yang terlalu tidak konsisten dengan kejadian dan fakta sebenar.

“Sebaliknya, mereka yang cenderung kepada Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan yang bertentangan dengan mengancam untuk menutup pengendali pawagam dan lain-lain bentuk tindakan undang-undang jika Tanda Putera tidak ditayangkan.

“Pihak polis digunakan untuk membuang karya seni di Kuala Lumpur. Ini adalah perbezaan di antara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, di mana, di negeri ini, mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang masih boleh memaparkan persembahan mereka tanpa gangguan. Ini yang akan menjadikan Pulau Pinang kota seni Malaysia kerana artis menikmati kebebasan bersuara,” katanya dalam kenyataan akhbar di Komtar, di sini, hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, bagaimanapun kebebasan bersuara tidak bererti kebebasan untuk berdusta.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengambil langkah menasihat mengenai Tanda Putera kerana filem itu telah melintasi garis sempadan dengan menggunakan dana awam untuk menyebarkan pembohongan yang menggalakkan kebencian dan bukan keharmonian antara pelbagai kaum di Malaysia.

Katanya, berikutan ancaman kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dimaklumkan bahawa semua pengusaha pawagam akan menayangkan filem itu tidak lama lagi di Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi jaminan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak, tetapi berharap semua pihak, termasuk penonton dan pengusaha filem boleh melihat di sebalik pembohongan dan kebencian perkauman tertanam dalam filem itu,” katanya.

Menurutnya, kos pengeluaran filem itu sebanyak RM4.8 juta ditaja Kerajaan Persekutuan itu dilihat sebagai satu sokongan rasmi sepenuhnya, termasuk terhadap adegan rekaan yang diakui sendiri oleh pengarahnya sebagai tidak benar tetapi dijelaskan sebagai “lesen kreatif” sedangkan lesen kreatif tidak memberi sesiapa hak menyebarkan pembohongan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan konflik.

“Jelas BN sanggup ke tahap itu untuk memaksa pembohongan dan menafikan kebenaran. Tindakan BN itu menimbulkan pertikaian samada BN menggalakkan kebencian kaum terhadap minoriti dan menyalahkan minoriti sebagai punca semua masalah adalah sebahagian daripada justifikasi dan alasan untuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“BN mungkin tidak akan berjaya mengaburi fikiran generasi akan datang. Di sini letaknya tanggungjawab kita untuk berpegang teguh kepada kebenaran dan yakin masih terdapat rakyat Malaysia yang akan berjuang melawan penindasan terhadap kumpulan minoriti di Malaysia,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.-Roketkini.com