Berita

AES perlu kajian menyeluruh – Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 19 SEPTEMBER: DAP mendesak Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melakukan kajian komprehensif mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok berkata, walaupun Hishammuddin mengumumkan pengurangan harga bayaran saman AES bagi meringankan beban kewangan pesalah trafik namun ia bukanlah langkah yang dikehendaki rakyat.

“Apa yang rakyat mahu adalah kajian menyeluruh daripada semua aspek pelaksanaan AES selama ini. Kajian itu termasuk apakah AES benar-benar berkesan mengurangkan kemalangan jalan raya kerana terdapat beberapa keraguan mengenai keberkesanannya?

“Jadi kerajaan perlu meyakinkan orang ramai bahawa sistem AES benar-benar berkesan dan keputusan asal melaksanakannya bukan satu skim untuk membantu dua syarikat swasta meraih keuntungan besar,” katanya dalam kenyataan.

Teresa kok 2Menurut Teresa, lokasi kamera AES juga tidak sesuai dan kerajaan seharusnya mengalihnya ke tempat yang lebih sesuai seperti di kawasan yang berrisiko tinggi kemalangan.

“Terdapat pelbagai aduan orang ramai mengenai lokasi sasaran yang tidak sesuai. Satu daripada lokasi yang tidak sesuai adalah di persimpangan trafik Batu 5, Jalan Klang Lama, berhadapan hotel antarabangsa Pearl.

“Jalan itu adalah tempat yang sibuk dan sering berlaku kesesakan lalu lintas pada waktu puncak. Adalah sangat tidak munasabah untuk pemandu yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas berhampiran persimpangan lampu isyarat dijadikan sasaran kamera AES hampir setiap hari. Kamera AES di situ perlu dibuang kerana lokasi yang dipilih tidak praktikal dan mesti dikaji semula.

“Persoalannya kini, mengapa kamera AES tidak dipasang di lokasi kemalangan jalan raya seperti Genting Highlands di mana baru-baru ini satu kemalangan bas tragik berlaku hingga menyebabkan banyak nyawa terkorban?,” soalnya.

Beliau turut mempertikaikan jumlah cadangan kamera yang terlalu banyak, walaupun kini hanya 14 kamera dipasang namun berpuluh ribu saman telah dikeluarkan.

“Tidakkah jumlah kamera sebanyak 831 terlalu banyak? Setakat ini, hanya 14 kamera sudah dipasang tetapi berpuluh-puluh ribu saman telah dikeluarkan. Jadi berapa banyak lagi saman akan dikeluarkan apabila 831 itu dipasang?

“Apabila terlalu banyak kamera dipasang di merata tempat, diskaun saman atau peningkatan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak akan membantu meringankan beban rakyat,” ujarnya.

Hishammuddin semalam mengumumkan diskaun sebanyak 50 peratus terhadap saman AES, di mana pengguna jalan raya hanya perlu membayar RM150 berbanding RM300 bagi setiap kesalahan.

Beliau juga menyatakan syarikat berkaitan kerajaan akan mengambilalih pengurusan AES daripada dua syarikat konsesi swasta sebelum ini.

Dalam pada itu, Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan turut mengecam kenyataan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Kong Cho Ha dalam Sin Chew Daily hari ini yang tidak memahami isu pampasan kepada konsesi kerana tidak pernah melihat kontrak kerajaan dengan syarikat terbabit.

“Kenyataan ini menunjukkan betapa tidak bertanggungjawab dan tidak berkesannya seorang Menteri Pengangkutan.

“Keputusan menswastakan projek AES akan menyebabkan wang pembayar cukai digunakan untuk membayar pampasan kepada syarikat swasta berkenaan.

“Jadi beliau sekurang-kurangnya perlu membuat permohonan maaf secara terbuka dan bukannya membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan menggelikan. -Roketkini.com