Berita

Kerajaan Johor digesa pelihara Sungai Pulai, bela nasib Orang Asal Seletar

GELANG PATAH, 1 NOVEMBER: DAP menggesa Kerajaan Negeri Johor bertegas terhadap pemusnahan kawasan perlindungan tanah paya akibat daripada pembangunan pesat di persisiran Sungai Pulai sebagai sebuah kawasan yang dilindungi dalam Konvensyen Tanah Paya (RAMSAR Convention 2003).

Gesaan itu dibuat kerana banyak aduan diterima daripada masyarakat sekitar rata-ratanya Orang Asal Seletar yang bergantung hidup kepada sungai berkenaan sebagai punca rezeki.

Justeru, Pemuda DAP (DAPSY) Johor mengambil inisiatif turun padang meninjau masalah yang dialami Orang Asal berkenaan.

Turut sama ialah Ketua Biro Teknologi Hijau dan Alam Sekitar DAPSY Kebangsaan, Marcus Sew; ADUN DAP Pengkalan Rinting, Cheo Yee How’ Ketua DAPSY Pasir Gudang, Sandra Tang dan AJK DAPSY Johor, Yan Boon Meng dan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya Mohd Daud

Menurut Dyana Sofya, Sungai Pulai terjejas teruk sejak kebelakangan ini termasuk penurunan tangkapan hidupan laut yang ketara di kawasan itu dan pengecutan kawasan hutan paya bakau yang drastik.

“Semakin banyak kawasan hutan paya bakau dimusnahkan dan persisiran sungai ditambak untuk memberi ruang kepada pembangunan komersial dan kediaman berikutan projek Iskandar Malaysia.

“Saya ingin bertanya, adakah kawasan perlindungan RAMSAR Convention ini benar-benar dilindungi? Sekiranya lebih banyak kerosakan berlaku ke atas kawasan ini, kami bimbang kita tidak mungkin akan dapat lagi memulihara dan mengekalkan ekosistem Sungai Pulai yang merupakan satu daripada contoh terbaik lembangan tropika di Malaysia,” katanya.

Justeru, pihaknya sekali lagi menyeru Menteri Besar Johor mengambil langkah tegas mengelak kemusnahan kawasan ini secara berterusan.

Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup adalah tiga kawasan di Negeri Johor yang dilindungi RAMSAR Convention sejak 31 Januari 2003.

Kawasan ini mempunyai beberapa fungsi ekological yang amat penting termasuk membendung mendapan dan nutrien dan membuang sisa toksik, melindungi produk semulajadi yang mempunyai nilai ekonomi seperti kayu dan perikanan. –Roketkini.com