Berita

DAP ambil inisiatif bina rumah penduduk miskin Mas Gading

BAU, 22 NOVEMBER: Seorang ibu tunggal, Chaw Choon Kee, 47, dan dua anaknya yang tinggal di sebuah pondok usang ‘reban ayam’ di Kampung Selarat, Sematan, Sarawak, bersyukur dan kini boleh menarik nafas lega apabila DAP Cawangan Tasik Biru Parlimen Mas Gading prihatin mengambil langkah segera membina sebuah rumah untuk mereka selepas gagal mendapat bantuan daripada pihak bertanggungjawab.

Tambah menyedihkan, Chaw sudah enam tahun ditinggalkan suami dan menetap di pondok uzur yang dibina sendiri hasil bekerja memungut biji sawit yang dijual dengan harga RM0.15 setiap kilogram.

Manakala dua anaknya, Foo Kuet Moi dan Foo Kuet Choi, masing-masing berusia 15 dan 16 tahun dan masih bersekolah.

Pengerusi DAP Tasik Biru yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak, Mordi Bimol berkata, Chaw pernah memohon bantuan menerusi Program Bantuan Rumah tiga tahun lalu tetapi gagal.

“Saya mengambil inisiatif segera melawat keluarga Chaw selepas menerima aduan dan maklumat daripada ahli DAP Sematan. Permulaannya, kami menyumbangkan sedikit barangan keperluan makanan untuk meringankan perbelanjaan keluarga yang disisih itu.

“Saya tidak sangka pondok kecil yang disangka reban ayam itu rupa-rupanya sebuah rumah yang didiami seorang ibu tunggal bersama dua anak itu menyedihkan dan menyentuh perasaan saya,” katanya.

Mordi berkata, pembinaan rumah itu inisiatif DAP cawangan itu dengan dokongan daripada kalangan ahli dan penyokong DAP yang menyumbang dalam bentuk wang dan barangan.

“Kami menggunakan pelbagai sumber yang ada. Ada yang sumbang duit, tenaga dan bahan binaan, pihak kami amat terharu dengan sokongan yang diterima,” katanya.

Menurut Mordi, kini, pembinaan rumah Chaw menjadi bualan hangat di kalangan penduduk sekitar Sematan.

“Saya telah menerima 12 pemohon bantuan rumah. Kesnya sama, semua pemohon ini miskin dan pernah mohon Program Bantuan Rumah tetapi gagal.

“Sebenarnya, membina rumah ini bukan tanggungjawab parti, ia adalah tanggungjawab kerajaan. Sebab itu saya menggesa mereka memainkan peranan sebenar tanpa kerenah birokrasi atau diskriminasi,” ujarnya.

Mana-mana pihak, orang perseorangan, persatuan atau NGO yang mahu memberi sumbangan, mereka boleh menghubungi Pejabat DAP Sarawak di talian 082-335531 atau terus kepada Pengerusi DAP Tasik Biru, Mordi Bimol menerusi talian 016-8947974.-Roketkini.com