Berita

Kerajaan PR Selangor diminta selesai segera masalah kekurangan tanah kubur

SHAH ALAM, 28 NOVEMBER: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kampung Tunku, Lau Weng San memohon Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor menyelesaikan segera masalah kekurangan tanah kubur di negeri ini.

Beliau berkata, penyelesaian cepat dan efektif perlu dilakukan berikutan masalah kekurangan itu semakin ketara akibat kegagalan Kerajaan BN ketika mentadbir negeri yang tidak tegas dalam melindungi tanah rizab kubur serta menambah carumannya.

Menurutnya, dalam pertemuan dengan penduduk Petaling Jaya pada 5 Jun 2012, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga memberitahu bahawa caruman kepada Tabung Amanah Tanah Kubur perlu dinaikkan supaya kerajaan mempunyai wang mencukupi untuk mengambil tanah bersesuaian sebagai tanah kubur.

“Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) menyatakan bahawa keadaan di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah antara yang paling kritikal.

“Kawasan PJ sudah tiada lagi tanah kubur mencukupi dan MB juga membangkitkan dua cara penyelesaian iaitu tapak kubur setempat dan tapak kubur bersepadu untuk menyelesaikan masalah ini.

“Saya ingin bertanya apakah perkembangan terkini projek tanah perkuburan bersepadu? bila ia boleh digunakan dan apa strategi yang diguna untuk mengatasi masalah kekurangan tanah perkuburan ini? Saya memohon penyelesaian masalah ini disegerakan,” katanya ketika membahaskan usul Bajet Peruntukan Pembangunan Selangor 2014, di Dewan Negeri Selangor, hari ini. -Roketkini.com