Berita

Naik tol: Rakyat makin susah, kroni bertambah kaya

RAUB, 19 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz mengecam tindakan kerajaan yang mungkir janji untuk tidak menaikkan tol pada kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Beliau berkata, tindakan itu bukan sahaja menambahkan beban rakyat, malah meneruskan agenda monopoli untuk memperkayakan kroni.

“Semua konsesi tol dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbukti adalah proksi UMNO, mereka ini diberi monopoli ke atas kutipan tol.

“Intipati pembolot ini dapat dilihat apabila mereka dibenarkan menetapkan harga yang dimahukan daripada masyarakat awam.

“Persoalannya kini, ke mana perginya janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam manifesto PRU-13 lalu iaitu mengurangkan kadar tol secara beransur-ansur. Beliau juga dalam ucapan Bajet 2011 menyatakan bahawa lebuhraya PLUS tidak akan meningkatkan kadar tol untuk sekurang-kurangnya 5 tahun lagi,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, akibat kegagalan mengotakan janji itu, sudah tiba masanya kerajaan melakukan transformasi sebenar jika mereka benar-benar mengambil kira penderitaan yang terpaksa ditanggung rakyat.

Jelasnya, jalan terbaik untuk kerajaan adalah mengambil alih semua pengendali tol dan meletakkannya di bawah dana amanah awam.

Beliau yang juga graduan ekonomi Universiti of Manchester turut menegaskan, melalui pengambilalihan ini Permodalan Nasional Berhad (PNB) boleh menguruskan perolehan perniagaan operasi tol.

“Saham perlu dikeluarkan kepada orang ramai supaya mereka boleh membelinya. Pada akhir tahun, apabila dividen diisytiharkan, mereka dapat mengetahui ke mana wang dibelanjakan kerana menghabiskannya di tol dan sekaligus menyumbang kepada pendapatan dana amanah.

“Jika rakyat mahukan dividen lebih, mereka sendiri yang membuat keputusan untuk menaikkan kadar tol atau tidak, ia sekurang-kurangnya membolehkan pendapatan dipertingkatkan daripada membiarkan sekumpulan elit tertentu memperolehnya.

“Model membeli daripada lebuhraya bertol ini juga boleh dilanjutkan untuk monopoli lain seperti bekalan elektrik, air dan sebagainya. Sudah tiba masanya menjadikan rakyat sebagai pemegang kepentingan ekonomi negara,” tegasnya.-Roketkini.com