Rencana

Makmal bukan jawapan untuk soal ekonomi – Liew Chin Tong

SESUNGGUHNYA Malaysia memerlukan lebih perbincangan isu ekonomi, tetapi hujah seperti “pemotongan subsidi gula untuk mengurangkan masalah lemah tenaga batin”, atau “teori kangkung” tidak membantu rakyat memahami masalah ekonomi. Di samping itu, penubuhan “makmal” bagai cendawan selepas hujan gagal menutup hakikat ketandusan idea kerajaan dalam hal menentukan halatuju dasar.

Jikalau ramai orang makan kangkung sehingga permintaan melebihi pembekalan, maka harga kangkung akan meningkat. Kerajaan boleh campur tangan untuk mengawal harga atau memperuntukkan subsidi. Kedua-dua kawalan harga dan peruntukan subsidi boleh menjurus kepada kehabisan bekalan kangkung di pasaran atau kemunculan pasaran gelap.

Malaysia adalah negara pengeluar kelapa sawit, tetapi beberapa kali kita mengalami krisis bekalan minyak masak – semuanya berlaku ketika harga kawalan minyak masak terlalu rendah tatkala harga minyak kelapa sawit melambung.

Hampir setiap bulan apabila sampai ke penghujungnya, akan berlaku kejadian kehabisan bekalan diesel di stesen minyak di sesetengah tempat. Puncanya harga diesel subsidi lebih murah daripada harga diesel industri dan harga diesel di luar negeri. Maka munculnya pasaran gelap untuk aktiviti jual beli diesel subsidi kepada pembeli industri dan penyeludupan diesel ke luar negeri.

Penguatkuasaan undang-undang perlu diperketatkan untuk menyelesaikan masalah pasaran gelap dan aktiviti penyeludupan diesel. Untuk mengatasi masalah yang timbul lantaran perbezaan harga diesel, satu daripada penyelesaiannya adalah pemansuhan subsidi diesel dan menyalurkan wang secara terus kepada pengguna melalui saluran lain.

Perbincangan kita hampir tidak menyentuh perbezaan antara subsidi diesel dengan subsidi petrol. Pengguna diesel, termasuk pemandu lori dan nelayan – lebih mudah dikenalpasti dan boleh dihubungi secara langsung berbanding pengguna petrol. Seandainya kita tidak membezakan antara diesel dengan petrol, atau menyamakan suara bantahan terhadap kenaikan harga petrol dengan bantahan terhadap kenaikan harga diesel – maka sindiket penyeludupan diesel akan menjadi pihak yang paling dimanfaatkan dalam hal ini.

Dalam Belanjawan 2014, subsidi untuk bahan api yang berkaitan dengan pengangkutan mencakupi RM29 bilion, daripada subsidi sejumlah RM39 bilion. Seringkali saya tertanya-tanya, berapakah jumlah sebenarnya yang tersalur ke dalam pasaran gelap dan berapa jumlah pula yang diseludup? Seandainya pasaran gelap diesel dan aktiviti penyeludupan dikurangkan, barangkali kita tidak perlu melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), lantas mengurangkan kesan yang dibawa GST?

Sememangnya harga diesel memberi kesan langsung kepada harga barangan kerana bakal mempengaruhi kos kenderaan dan pengangkutan. Apa-apa langkah yang drastik tanpa perbincangan yang menyeluruh akan memberi impak yang besar kepada rakyat jelata.

Saya membantah kenaikan harga minyak tanpa menyediakan sistem pengangkutan awam yang lengkap. Kenaikan harga minyak pada 2006 dan 2008 menyebabkan ramai pemandu kereta memilih untuk menjadi penunggang motosikal. Kenaikan harga minyak hampir boleh disamakan dengan peningkatan kadar kematian lantaran kemalangan jalan raya.

Jika dilihat daripada peruntukan subsidi RM29 bilion untuk bahan api yang berkaitan dengan pengangkutan, Malaysia adalah negara yang paling layak di seluruh dunia untuk “membayar kepada rakyat yang menaiki bas”. Kerajaan mungkin boleh memansuhkan peruntukan subsidi kepada diesel, sebaliknya memperuntukkan subsidi secara besar-besaran kepada perkhidmatan bas, termasuk bas sekolah, bas kilang dan pelbagai perkhidmatan pengangkutan awam yang ditunjangi bas. Cara subsidi boleh dipelbagaikan, misalnya baucer bas sekolah kepada ibu bapa, perkhidmatan bas percuma pada waktu pejabat dan sebagainya.

Masalah kerajaan Barisan Nasional adalah tiada pemahaman asas terhadap kajian ekonomi dan tidak memiliki daya imaginasi dalam penggubalan dasar yang kreatif, misalnya membayar kepada rakyat yang menaiki bas. Apakah tidak mungkin, seandainya kita mengadakan cabutan bertuah untuk penumpang bas dengan tiketnya – sebagai langkah menggalakkan orang ramai menaiki bas?

Namun, kerajaan BN hanya mempunyai projek mega LRT untuk pengangkutan awam – tetapi yang untung adalah kontraktor kroni, dan tiada kena-mengena dengan rakyat jelata. Untuk pengangkutan, satu-satunya jawapan kerajaan adalah membina lebih lebuhraya dan tol, di samping menjual lebih kereta.

Bukan sahaja kerajaan tidak memiliki daya imaginasi, tetapi juga tidak bertimbang rasa, sehingga harga barangan melambung secara mendadak. Dengan tergesa-gesa makmal ditubuhkan setelah suara bantahan rakyat mengombak. Penubuhan jawatankuasa kabinet atau arahan supaya menteri turun padang untuk pemantauan – semua ini adalah manifestasi yang menunjukkan kerajaan kita ketandusan idea dalam hal dasar ekonomi.

Liew Chin Tong ialah Ahli Parlimen Kluang dan Pengarah Pendidikan Politik DAP. – Roketkini.com