Berita

Projek jana kuasa 3B: Usaha terdesak selamatkan hutang 1MDB RM40 bilion

KUALA LUMPUR, 21 FEBRUARI: Muka depan akhbar The Edge Financial Daily semalam mengesahkan bahawa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) memberitahu Kabinet mengenai penganugerahan projek jana kuasa tenaga lapangan hijau menggunakan arang batu (Projek 3B) 2,000 MW kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam kenyataannya hari ini memberi respon terhadap kenyataan KeTTHA itu.

Beliau berkata, ia jelas cubaan terdesak untuk menyelamatkan 1MDB yang dibelenggu hutang menggunung dianggarkan melebihi RM40 bilion.

Menurutnya, sejak 2012, 1MDB meneruskan strategi pemerolehan secara melulu untuk mengambil alih penjana tenaga bebas (IPP) yang kontraknya sudah berakhir pada premium sangat tinggi dengan pinjaman.

Jelas Tony, 1MDB telah memperoleh Tanjong Energy Sdn Bhd dengan harga RM8.5 bilion, Genting Sanyen RM2.35 bilion dan loji jana kuasa Jimah RM1.2 bilion, ia membabitkan kos sebanyak RM12.05 bilion.

“Namun, dalam isu terkini mingguan The Edge Malaysia, aliran tunai yang terhasil daripada projek ini digunakan untuk menanggung faedah hutang 1MDB sebanyak RM650 juta. Ia tidak memerlukan genius kewangan untuk mengetahui bagaimana mereka membayar balik pinjaman berbilion ringgit.

“Projek tenaga misteri ini melipatgandakan skandal pelaburan 1MDB sebelum ini iaitu sebanyak US$2.3 bilion (RM7.63 bilion) di Pulau Cayman yang berpunca daripada pelaburan usahasama dengan PetroSaudi International Limited.

“Nampaknya penipuan kewangan menyebabkan KPMG, juruaudit luar 1MDB melepaskan jawatan daripada menandatangani akaun yang tidak dapat disahkan,” katanya.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu menegaskan, pentadbiran Najib seolah-olah memang merancang menganugerahkan konsesi IPP itu kepada 1MDB walaupun ia akan menyebabkan kos elektrik naik lebih tinggi hanya kerana mahu menutup defisit besar mereka.

Beliau turut menyelar tindakan kerajaan yang langsung tidak mengambil kira bebanan ditanggung rakyat, sekaligus bertentangan dengan slogan mereka ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

“Jika tawaran lebih tinggi dipilih, ia hanya mengukuhkan lagi bahawa Najib dan Kabinetnya tidak ikhlas membantu rakyat dan hanya berminat pada keuntungan serta menyelamatkan syarikat berkaitan dengan pentadbiran mereka,” ujarnya. -Roketkini.com