Berita

Kementerian Kewangan digesa siasat skim cepat kaya Zhang Jian

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng membidas kritikan Naib Pengerusi Pemuda MCA Tan Kok Eng menuduhnya tidak tahu kementerian mana sepatutnya melakukan siasatan berhubung kontroversi skim cepat kaya milik individu bernama Zhang Jian.

“Saya telah menulis surat kepada tiga pihak berkuasa bulan lalu, iaitu polis, Bank Negara serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Tapi hanya pihak polis yang menjawab tulisan saya dengan mengatakan bahawa terdapat unsur jenayah di bawah bidang kuasa Bank Negara. Sebab itu saya merujuk kes ini kepada Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong,” kata Lim dalam kenyataan.

KPDNKK menyatakan skim cepat kaya Zhang Jian menjalankan operasi skim cepat kaya secara haram mengikut Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993

KPDNKK menyatakan skim cepat kaya Zhang Jian menjalankan operasi skim cepat kaya secara haram mengikut Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993

Akhbar The Star hari ini melaporkan kritikan Tan yang mendakwa Lim seolah-olah tidak tahu pihak mana sepatutnya beliau berurusan dalam isu skim cepat kaya terbabit.

Tan menyatakan, tindakan Lim menghantar surat kepada Chua adalah salah kerana beliau sepatutnya merujuk kepada KPDNKK bukannya Kementerian Kewangan.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur itu menjelaskan, Zhang mengambil gambar dengan ramai pemimpin MCA termasuk Tan Sri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Bukan saja bergambar, mereka juga secara terbuka berkongsi pentas yang sama.

“Adakah salah saya meminta Chua membuktikan pemimpin-pemimpin MCA tidak mempunyai kaitan dengan individu itu?,” soalnya.

Beliau turut tidak bersetuju bahawa perkara isu tersebut tidak membabitkan Bank Negara.

“Sepatutnya Bank Negara dan Kementerian Kewangan menyiasat skim RM300 juta ini di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

“Mungkin melibatkan penipuan kewangan, pengubahan wang haram dan pengambilan deposit secara haram,” tegasnya.

Sehubungan itu, Lip Eng menggesa Chua bertindak segera untuk mengarahkan Kementerian Kewangan menyiasat skim berkenaan dan tidak melepaskannya begitu saja. – Roketkini.com