Berita

Kerajaan wajar bina walkalator di tambak Johor, kata MP Kluang

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Semenjak kenaikan tol di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru bermula 1 Ogos lalu, pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Singapura adalah golongan yang paling terjejas.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dalam perbahasan Belanjawan 2015 hari ini mencadangkan kerajaan Malaysia membina ‘walkalator’ di sepanjang laluan di Tambak Johor bagi membolehkan rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Pada masa ini, ramai rakyat Malaysia yang berjalan kaki di Tambak Johor, terutamanya ketika berlaku kesesakan lalu-lintas.

“Cadangan membina walkalator rasanya tidak keterlaluan, seperti yang dilaksanakan di Arab Saudi dan Hong Kong,” kata Chin Tong dalam perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Walkalator adalah prasarana bagi pejalan kaki, di mana pengguna tidak perlu berjalan kaki atau menaiki kenderaan dan sebaliknya hanya perlu berdiri di atas pelantar yang akan membawa pengguna berserta muatan barang dari satu tempat ke satu tempat pada jarak dekat dan sederhana.

Walkalator biasanya digunakan di lapangan terbang dan pusat membeli belah.

Menurut Chin Tong, cadangan penggunaan walkalator adalah pilihan terbaik dengan kos rendah bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas teruk di Tambak Johor, seterusnya meningkatkan daya pengeluaran dan keseimbangan hidup yang lebih baik.

“Namun, kerajaan perlu mengarahkan MRCB menyediakan bas percuma kerana syarikat ini meraih keuntungan besar setiap bulan berikutan kutipan tol kompleks CIQ,” kata Chin Tong.

Kerajaan Malaysia pada tahun 2012 mengambil alih projek EDL dengan pampasan RM68 juta bagi tempoh April–Disember 2012 kepada MRCB, manakala RM11 juta dibayar setiap bulan selama 34 tahun sepanjang tempoh perjanjian konsesi kepada anak syarikat MRCB, iaitu MRCB Southern Link Bhd.

“Durian runtuh’ ini harus digunakan untuk meringankan beban rakyat dengan menyediakan bas percuma, bukan semata-mata untuk mengisi poket kroni,” tegas Chi Tong.

Mulai 1 Ogos lalu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menetapkan kadar baru tol arah masuk CIQ itu bagi kenderaan Kelas 1 hingga Kelas 5 yang masing-masing bernilai RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80.

Manakala tol arah keluar CIQ ditetapkan pada kadar RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50.

Kenaikan sehingga 480 peratus yang dikenakan kepada pengguna lebuhraya untuk keluar dan masuk ke Singapura terlalu tinggi dan tidak masuk akal, menimbulkan bantahan meluas terutamanya kerana ia memberi kesan terhadap pekerja Malaysia yang berulang-alik setiap hari ke republik itu.