Berita

Perwakilan Sabah tegas kebebasan beragama, hormat Batu Sumpah Keningau

SUBANG, 14 DIS: Perwakilan Sabah, Libra anak Kidong @ Jeffery, mengingatkan perwakilan tentang Batu Sumpah Keningau yang membentuk asas pembentukan Malaysia pada 1963.

Sambil menunjukkan gambar di bajunya, beliau mengingatkan tiga asas sumpah iaitu kebebasan beragama, hak negeri ke atas tanah dan menghormati serta menegakkan kebudayaan dan warisan penduduk peribumi Sabah.

Beliau menegaskan perkara tersebut dengan memetik Perkara 20 dalam Perlembagaan yang menyebut Islam sebagai rasmi, namun agama-agama lain bebas diamalkan di mana-mana bahagian persekutuan.

“Saya sendiri mempunyai abang yang memeluk agana Islam dan kami boleh hidup bersama-sama dalam satu bumbung dan menghormati agama masing-masing,” kata Libra disambut tepukan gemuruh hadirin.

Dalam pada itu turut memuji tindakan Menteri Besar Selangor yang memulangkan kembali kitab-kitab Bible yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Libra menyifatkan tindakan itu sebagai terbaik sambil mengangkat ibu jarinya tanda bagus.

Tanah untuk orang asal

Dalam pembentangannya, beliau turut mengetengahkan isu tanah dan hutan simpan yang kini telah banyak dianugerah kepada syarikat-syarikat besar.

“Sedangkan semangat Batu Sumpah Keningau tidak begitu. Tanah Sabah sepatutnya untuk orang Asal, bukannya syarikat-syarikat besar, orang-orang Asal di sana (sendiri) tidak punya tanah,” ujarnya.

Dalam ucapannya juga beliau menyebut perihal hutan yang menjadi sumber makanan orang Asal sudah tidak dijadikan tempat aktiviti memburu apabila diwartakan sebagai hutan simpan.

“(Hutan) itulah yang menjadi tempat di mana mereka mencari makan untuk anak bini mereka,” kata Libra. – Roketkini.com