Rencana

Mengenang serangan gas beracun Halabja: Membezakan kesetiaan terhadap negara dan kerajaan

Seorang wanita Kurdish Iraq melawat tanah perkuburan mangsa-mangsa serangan gas oleh bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein pada 1988. Gambar Safin Hamed / AFP Photo 17 Mac.

Tepat 27 tahun lalu, tanggal 16 Mac memahat ingatan pahit dan memedihkan tentang ribuan kaum Kurdish yang dilenyapkan, di samping ratusan lagi yang cedera, berikutan pembunuhan beramai-ramai menggunakan gas beracun di Halabja, utara Iraq, sebagai sebahagian daripada kempen “Al-Anfal”, program berteraskan pembunuhan beramai-ramai yang dilancarkan oleh kerajaan pusat Iraq ke atas penduduk Kurdish dan non-Arab.

Pagi itu, beberapa saksi mata melihat sekitar 20 pesawat terbang, termasuk jet Mig dan Mirage, menggugurkan bom yang, menurut pakar kimia, mengandungi gas mustard, gas saraf sarin, tabun, XV dan kemungkinan juga cyanide.

Dianggarkan 5,000 orang mati dan antara 7,000 hingga 10,000 cedera – sebahagian besarnya orang awam. Mayat kanak-kanak ditemui di bawah katil, dalam tong makanan, dalam periuk besar dan juga almari – mungkin mereka bersembunyi di sana kerana menyangka gas tidak akan menyusup masuk ke dalam ruangan itu. Kakitangan hospital melaporkan bahawa mangsa yang terselamat menunjukkan gejala keracunan gas mustard, iaitu lesi kulit yang teruk dan kesukaran bernafas. Mangsa yang mati pula wajah mereka seperti menyeringai menahan sakit yang bersangatan serta tubuh mereka merengkok.

75% daripada mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Arahan untuk menyerang orang awam yang tidak berdosa di Halabja diberikan oleh Saddam Hussein dan sepupunya, Ali Hassan al-Majid, yang juga dikenali sebagai “Ali Kimia” . Kedua-dua mereka bertindak dengan darah dingin ke atas rakyat mereka sendiri.

Pada Disember 2005, sebuah mahkamah di The Hague memutuskan – selari dengan Perkara 2 United Nations Convention on the Prevention and Punishment of the Crime of Genocide tahun 1949 – bahawa pembunuhan ribuan Kurdi di Iraq pada tahun 1980an itu sememangnya satu tindak pembunuhan beramai-ramai.

Kini di Iraq, di tahun 2015, kelompok yang dulu tertindas sekarang menempati baris depan mempertahankan negara mereka daripada pencerobohan tentera ISIS. Golongan “peshmerga” Kurdi (peshmerga bererti golongan yang berdepan mati) menghujani kelompok pengganas ISIS dengan serangan, mempertahankan kawasan utara Iraq. Golongan Peshmerga adalah pejuang puak Kurdi yang mengenal kawasan pergunungan utara negara mereka seperti tangan kiri mengenal tangan kanan.

Mereka menggalas tanggungjawab, mengubah sifat mereka daripada pejuang puak menjadi pejuang negara yang mempertahankan tanahair mereka daripada dicerobohi dan dihancurkan oleh ISIS/ISIL. Mereka jugalah dulunya golongan yang menjadi sasaran pembunuhan beramai-ramai kempen Al-Anfal yang bertujuan ‘membersihkan’ Iraq daripada kaum Kurdi dan non-Arab.

Walaupun dilayan dengan gas beracun 50 tahun lalu, Kurdi hari ini tidak melupakan keutamaan. Pada hari ini Kurdi memikul tugas mempertahankan kedaulatan tanahair mereka, bukan kerajaan.

Pada 9 Mac, balatentera Peshmerga telah melancarkan serangan ke atas militan IS di kawasan Kirkuk yang kaya minyak. Dianggarkan anggota Peshmerga yang terlibat dalam operasi itu sekitar 80,000 hingga 250,000 orang. Bekalan senjata dan peluru merek tidak mencukupi. Mereka menggunakan senjata usang untuk mempertahankan sempadan negara. Setakat Januari 2015, sebanyak 12 daripada 36 briged berada di bawah kawalan Kerajaan Wilayah Kurdistan.

Peshmerga Kurdi mampu berdiri megah penuh bermaruah. Mereka mempertahankan tanahair yang mereka cintai dengan keberanian di hati. Hakikat bahawa mereka adalah musuh negara nombor satu bagi rejim Ba’ath Iraq pada tahun 80an tidak membuat mereka kendur.

Pada hari ini, Kurdi mempertahankan tanahair mereka yang berdaulat, bukan kerajaan.

Masih banyak yang boleh dipelajari rakyat Malaysia tentang kesetiaan terhadap tanahair dan kesetiaan terhadap kerajaan.

“Let every nation know, whether it wishes us well or ill, that we shall pay any price, bear any burden, meet any hardship, support any friend, oppose any foe to assure the survival and the success of liberty ~ John F Kennedy – Roketkini