KUALA LUMPUR, 22 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta ‘menunjukkan wang’ bagi membuktikan kerajaan berupaya melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, berdasarkan peruntukan fiskal, dibimbangi RMK-11 gagal dilaksana kerana kerajaan kekurangan dana.
Ujarnya, selain pengumuman dasar, RMK-11 adalah peluang kerajaan mendedahkan bagaimana peruntukan digunakan bagi pembangunan tahunan lima tahun berikutnya.
Kata Chin Tong, perbandingan peratusan belanjawan pembangunan dengan keseluruhan jumlah belanjawan tahunan, menunjukkan penurunan daripada 24% pada 2011 kepada 18% (2015).
“Saya berpendapat ia (dana) tidak mencukupi. Peruntukan pentadbiran telah ‘dimakan’ oleh peruntukan pembangunan.
“Sekiranya inflasi diambil kira, peruntukan pembangunan di bawah RMK-11 tidak meningkat. sebaliknya menurun,” kata Chin Tong.
Ujarnya, bagi RMK sebelum ini, RM170 bilion untuk RMK-8 (2001-2005), RM220 bilion untuk RMK-9 (2006-2010) dan RM249.2 bilion untuk RMK-10 (2011-2015).
Manakala RMK-11 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam memperuntukkan RM260 bilion untuk belanja pembangunan bagi tempoh lima tahun 2016-2020.
Justeru kata Chin Tong, dalam jumlah tidak seberapa daripada belanja pembangunan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) sahaja mengambil 4.3% daripada RMK-8 dan 13.5% daripada RMK-9.
“Trend sama berterusan dalam RMK-10.
“Sebagai contoh pada 2015, ketika peruntukan pembangunan hanya RM50.5 bilion, JPM mengambil bahagian besar, iaitu RM13 bilion, bersamaan 25% sebagai belanja pembangunan.
“Jadi, sebenarnya sangat sedikit sumber dana untuk RMK-11.
“Melainkan Najib boleh menunjukkan kepada kita wang untuk menyokong rancangannya,” ujar Chin Tong. – Roketkini.com