Berita

Peluang Najib dedah skandal RM100 juta Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Datuk Seri Najib Razak wajar menyambut cabaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berdebat kerana ia membuka peluang untuk perdana menteri mendedahkan pelbagai skandal yang dianggarkan berjumlah RM100 juta sepanjang 22 tahun pentadbiran pengkritik tegarnya itu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Najib turut berpeluang menjawab “tuduhan liar, penipuan dan pemesongan fakta” oleh Dr Mahathir berhubung isu hutang 1MDB yang berjumlah RM42 bilion secara langsung melalui televisyen.

“Tapi mengapa Najib masih belum mengambil peluang untuk ‘menyelesaikan’ Dr Mahathir?

“Sekarang siapa lebih banyak rahsia yang ingin disembunyikan. Najib atau Mahathir?” kata Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Sebelum ini sebuah pertubuhan bukan kerajaan menggelarkan diri mereka ‘Warga Untuk Tata Kelola Pemerintahan Bertanggungjawab’ (CAGM) dilapor menawarkan RM1 juta kepada pihak yang berani tampil memberi maklumat mengenai “harta tersembunyi dan wang tunai dimiliki” Dr Mahathir.

Pengerusi CAGM Md Zainal Abidin berkata, Dr Mahathir adalah perdana menteri paling lama berkhidmat dan merupakan ketua kerajaan kedua terkaya selepas Presiden Mesir Hosni Mubarak, dengan anggaran kekayaan berjumlah US$44 bilion (RM161 bilion).

Namun, ‘serangan’ ke atas Dr Mahathir dijawabnya dalam satu pertemuan tertutup dengan sekumpulan NGO bahawa dia sedia bersemuka dengan Datuk Seri Najib Razak di pentas debat.

Bukan sekadar soalan berkaitan kontroversi 1MDB, Dr Mahathir turut bersedia menjawab serangan balas terhadap pentadbiran 22 tahunnya sebelum ini.

Malah, kritikan Dr Mahathir berterusan hari ini melalui kecamannya terhadap Najib berhubung isu 1MDB melalui surat terbuka kepada editor akhbar harian Amerika Syarikat, The New York Times.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman turut membidas tindakan Dr Mahathir yang tidak menunggu hasil siasatan Bank Negara Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Kata Anifah, tindakan bagi mana-mana warganegara, apatah lagi seorang bekas perdana menteri menyebarkan pembohongan dan memutarbelitkan kedudukan syarikat-syarikat milik negara adalah tidak bertanggungjawab.

Kata Kit Siang, kenyataan Anifah itu hanya separuh benar kerana kebanyakan rakyat Malaysia lebih suka melihat Dr Mahathir bersara secara hormat daripada terus merosakkan kedudukan negara untuk kepentingan politik peribadinya.

“Ya, kebanyakan rakyat Malaysia lebih suka melihat Dr Mahathir bersara secara terhormat.

“Tapi jika dia sedia bergerak untuk menghentikan rasuah, salah guna kuasa, kelemahan urus tadbir dan ingin membetulkan semula dasar dan hala tuju Malaysia, ini peluang buat ke sekian kalinya kepada Dr Mahathir berbakti.

“Apa yang akan dilakukannya adalah tindakan patriotik, dan sepatutnya diraikan oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com