Berita, Isu Semasa

Tajuddin perlu nasihat Najib jawab WSJ

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman perlu menasihati perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjawab pendedahan akhbar AS, Wall Street Journal (WSJ)

tajuddin

Tajuddin pakar operasi 1MDB dan patut nasihati Najib.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, Tajuddin kelihatan begitu ‘pakar’ mengenai operasi 1MDB sehingga yakin bahawa pendedahan WSJ tidak berasas.

“Pendedahan WSJ itu ditujukan kepada pengurusan 1MDB.

“Sepatutnya 1MDB keluar kenyataan menjawab tuduhan, lebih-lebih lagi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, ialah PM Najib Razak.

“Tajuddin harus sedar perkara ini melibatkan kepentingan rakyat. Sepatutnya dia gesa siasatan dijalankan, bukan cuba mencari alasan,”ujar Ramkarpal.

WSJ pada 18 Jun melaporkan wujud hubungan antara 1MDB, Genting Plantation dan YR1M Yayasan Rakyat 1Malaysia dalam menyalurkan wang bagi kempen pilihanraya Barisan Nasional pada PRU- 13.

Dalam laporan WSJ, 1MDB pada Oktober 2012 memperolehi satu unit Genting yang memiliki 75 peratus kepentingan dalam loji janakuasa arang batu 720 megawatt berhampiran Kuala Lumpur.

Pembelian 1MDB ke atas kepentingan Genting dalam aset kuasa itu adalah kira-kira lima kali ganda nilaian.

Difahamkan harganya kira-kira AS$740 juta, bersamaan RM2.3 bilion.

Kata Ramkarpal. sehingga hari ini tidak ada respon sama ada dari Ketua Polis Negara, Peguam Negara mahupun Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ini melibatkan keyakinan rakyat. Semua tuduhan WSJ itu sangat serius dan perlu dijelaskan.

“Tajuddin kelihatan begitu ‘pakar’ mengenai 1MDB sehingga yakin pendedahan WSJ tak berasas.

“Mungkin Tajuddin boleh nasihatkan Najib untuk menjawab,” sindir Ramkarpal. – Roketkini.com