Berita

Annuar Musa perlu dipecat

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa perlu dipecat daripada jawatannya ekoran pendedahan skandal rasuah dan penggubahan wang haram berjumlah RM13.7 juta di Melbourne, Australia.

Dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, mereka berkata, sebelum skandal Dudley House itu, MARA juga pernah terpalit dengan kontroversi pembelian tiga hartanah di London.

Skandal terbaru itu didedahkan akbar Australia, The Age yang melaporkan berlaku amalan sogokan berupa wang ringgit kepada pegawai MARA dalam pembelian bangunan Dudley House di Melbourne pada 2013.

“Semasa Annuar mengambil alih pimpinan MARA pada 2013, beliau sendiri mengakui wujud salah urus dan rasuah dan berjanji mahu menyusun semula institusi itu bagi menghilangkan stigma.

“Bagaimanapun, selepas dua tahun, nampaknya MARA tetap tak banyak berubah,” kata kenyataan itu.

Lebih memburukkan keadaan, Annuar dilihat membuat kenyataan bercanggah mengenai pembelian bangunan bernilai RM51.5 juta tetapi dibeli dengan harga RM65 juta itu.

“Adakah Annuar tahu dan sedar apa yang dia cakap? Jika dia kata harga itu betul kenapa perlu adakan siasatan pula?

“Kenyataan tidak cerdik Annuar itu jelas mendedahkan sama ada dia keliru atau tidak cekap. Beliau tak layak mengetuai agensi kerajaan yang diamanahkan dengan bajet tahunan RM4 bilion.

“Oleh itu, beliau harus dipecat serta merta,” kata kenyataan itu lagi. – Roketkini.com