Berita

24 jam untuk MCA dedah dana dari ‘derma’ Najib atau…

KUALA LUMPUR 8 NOV: MCA diberi tempoh 24 jam untuk berterus-terang mengenai dana yang diterima dari derma RM2.6 bilion atau berdepan dengan laporan rasuah.

Jika tidak, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya akaun parti itu atau akaun peribadi pemimpinnya disiasat.

“Ke mana perginya dana yang didermakan kepada MCA itu? Berapa jumlah sebenar yang disalur kepada MCA?

“Adakah ia juga dimasukkan ke akaun peribadi pemimpin MCA atau ke akaun rasmi MCA? Jika masuk ke akaun peribadi, akaun siapa yang menerima dana itu?” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Lip EngLip Eng berkata, ia berikutan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek minggu lalu mengesahkan ‘derma’ RM2.6 bilion disalur untuk membantu kempen parti komponen BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Katanya, bekas presiden MCA itu menyatakan kepada media bahawa Najib memaklumkan pemimpin parti komponen BN yang mereka akan mendapat bantuan kewangan.

“Ini aneh sekali kerana Timbalan Presiden Umno merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin langsung tidak tahu menahu tentang kemasukan derma itu,” katanya.

“Adakah sikap berdiam diri pemimpin MCA terhadap pendedahan Soi Lek itu merupakan isyarat mengesahkan penerimaan dana daripada sumber derma kepada Perdana Menteri?” katanya.