Berita

DAP persoal Yayasan Sabah tutup operasi papan lapis, anggap mencurigakan

TAWAU, 13 MAC: Tindakan Yayasan Sabah (YS) menutup operasinya di kompleks papan lapis Tawau yang dikendalikan oleh anak syarikat perhutanan hilirannya, Tawau Plywood Manufacturing Sdn. Bhd., adalah mencurigakan, lebih-lebih lagi atas alasan tidak dapat membekalkan cukup balak kepada kilang-kilang.

Adun Sri Tanjong, Chan Foong Hin, mendakwa penutupan itu dilakukan sewaktu kontraktor yang terlibat dengan YS mendapat keuntungan, justeru timbul persoalan sama ada YS sedang mengalami masalah kewangan hingga terpaksa menutup operasi itu yang memberi kesan buruk kepada 700 pekerja.

“Adakah YS kini mengalami masalah kewangan yang teruk? Jika ya, mengapa?

“YS memegang konsesi balak terbesar di Sabah. Ia amat memeranjatkan apabila ia mengalami kekurangan bekalan balak untuk diberi kepada anak syarikatnya sendiri, padahal kontraktor yang terlibat dengan YS sedang mendapat untung besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau mendapat tahu kompleks plywood Tawau telah dijual kepada salah satu kontraktor YS hanya dengan harga RM9 juta, walhal ia dibeli pada harga RM80 juta pada tahun 1997 (dengan nilai Ringgit pada 1997 tanpa pelarasan inflasi).

Pada masa sama, beliau mendakwa, Rakyat Berjaya Sdn Bhd, sebuah syarikat YS, diberi lesen kilang papan mudah alih yang unik untuk digunakan secara peribadi oleh kontraktor yang rapat dengan YS bagi mendapat keuntungan berganda, terutama Barisan Aman, Wincojaya, Hormat Jadi, Usahawan Borneo Holdings, Hasil Bagus dan Ikhlas Kinabalu.

“Kilang papan mudah alih yang diberi kepada kontraktor-kontraktor itu beroperasi jauh di dalam hutan konsesi YS serta tersembunyi dari pandangan umum.

“Apabila penyelewengan YS ini didedahkan oleh kakitangan, ia seolah-olah menjadi satu prosedur operasi standard (SOP) pegawai kanan yang korup di agensi itu untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bersuara,” dakwa beliau.

Justeru, Foong Hin menggesa Jabatan Perhutanan menerangkan bagaimana mereka pasti bahawa kilang papan mudah alih, tersembunyi dalam konsesi YS itu, dapat memproses balak secara sah dan membayar royalti balak dengan betul. – Roketkini.com