Berita

Polis diminta siasat segera skandal terbaru RM4.2 bilion libatkan Najib

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Satu laporan polis dibuat hari ini menggesa siasatan segera terhadap skandal terbaru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melibatkan sejumlah wang RM4.2 bilion seperti dibongkarkan oleh stesten TV Australia.

Laporan itu merujuk kepada dokumentari “State of Fear-Murder and Money in Malaysia” dalam rancangan Four Corners stesen Australia Broadcasting Corporation (ABC) baru-baru ini mengenai tiga bayaran yang dibuat kepada akaun Perdana Menteri yang mencecah RM4.2 bilion dan bukannya RM2.6 bilion seperti yang diakui kerajaan sebelum ini.

“Ada sebahagian jumlah wang ini didakwa digunakan untuk membeli barangan perhiasan dan pakaian dan membiayai percutian, adakah ini benar?

“Syarikat Jakel Trading didakwa menerima 14 juta USD (anggaran RM55 juta) dalam tempoh 4 tahun antara 2010 – 2014, adakah ini benar?” laporan berkenaan dipetik.

20160402_105537Hadir dalam membuat laporan polis itu di sini adalah Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli; aktivis DAP Ronnie Liu dan beberapa aktivis Otai Reformasi.

Laporan yang dibuat Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan dan NGO Otai Reformis itu juga berkata pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa laporan Four Corners ini mengesahkan  kenyataannya sebelum ini bahawa wang tersebut datang dari keluarga Diraja Arab Saudi, namun jumlah yang disebut oleh Perdana Menteri tidak sama dengan apa yang dilaporkan dalam program televisyen berkenaan.

“Laporan ABC menyatakan hanya USD155 juta dari Arab Saudi dan bukan USD681 juta seperti yang didakwa dan diakui oleh Perdana Menteri, mengapakah berlaku perbezaan yang besar ini?” soal laporan itu.

Justeru, laporan itu meminta pihak polis untuk menyiasat segera dimanakah sejumlah RM4.2 bilion tersebut. – Roketkini.com