Berita

Wujudkan pengurusan hutan lestari, kerajaan perlu ikhlas selesai masalah pembalakan

GUA MUSANG, 11 DIS: Pengerusi NGO Himpunan Hijau, Wong Tack mahu supaya kerajaan negeri ikhlas berunding dan menyelesaikan masalah Orang Asli yang semakin terjejas akibat pembalakan secara holistik.

Perkara ini jelasnya perlu mengambil kira banyak aspek dan bukan sekadar penguatkuasaan.

Ia termasuklah peraturan yang baik dan dasar pengurusan yang lestari serta menyeluruh demi menjamin keberlangsungan kehidupan Orang Asli, sekaligus mewujudkan keseimbangan alam sekitar.

wong tack

Pengerusi NGO Himpunan Hijau, Wong Tack

“Jika kita lihat sekarang, akibat pengurusan hutan yang tidak lestari, bencana banjir telah berlaku.

“Di sini pentingnya kita ambil kira perubahan iklim dunia yang sudah berubah di mana musim kemarau atau hujan boleh jadi lebih panjang,” jelas Wong Tack.

Katanya, perbincangan melibatkan semua pihak termasuk pakar alam sekitar perlu menjadi keutamaan sebelum apa-apa keputusan melibatkan pembalakan dibuat.

“Industri pembalakan perlulah mampan dan lestari demi mengekalkan kewujudan hutan dan keseimbangan alam.

“Apa yang paling penting, ia bukan sahaja mengekalkan alam sekitar yang baik tetapi juga tidak mendatangkan kesan buruk yang menjejaskan masyarakat Orang Asli,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Roketkini di Pos Bihai dalam program solidariti Himpunan Hijau kepada masyarakat Orang Asli di sini bermula 10 Disember dan berakhir semalam.

“Bukan masalah Orang Asli sahaja”

Dalam program itu, Himpunan Hijau yang datang dengan 10 kenderaan turut menyampaikan sumbangan orang ramai berupa barangan keperluan harian seperti beras, gula, susu, minyak masak dan sebagainya kepada komuniti Orang Asli.

Menurut Wong Tack, kemelut pembalakan yang telah menjejaskan kehidupan Orang Asli di sini bukanlah isu terpencil, namun masalah yang melibatkan seluruh rakyat Malaysia.

“Ini bukan masalah Orang Asli sahaja tapi masalah yang boleh jejaskan anak cucu kita.  

“Kalau hutan tak ada, sungai kering, bukan sahaja Orang Asli susah tapi semua kita.

wong tack“Jika kita hilang hutan, kita akan hilang sungai, hilang ekosistem,” katanya.

Justeru, perjuangan Orang Asli mempertahankan kehidupan dan hutan mereka perlu dijadikan tauladan.

“Orang Asli sudah tahu hak mereka. Semua di sini berjuang. Kita kena belajar dari mereka.

“Gelombang kesedaran Orang Asli yang kita lihat sekarang adalah satu perkembangan sosial yang positif dan akan menguatkan lagi komuniti ini seluruh negara.

“Kita mesti berganding bahu, bekerjasama pertahankan alam sekitar sebagai satu bangsa: bangsa manusia,” katanya lagi.

Kunjungan Himpunan Hijau ke kawasan blokade Pos Bihai ini turut dihadiri individu perseorangan, pencinta alam dan aktivis alam sekitar.

Turut serta, Ketua Pembangkang DUN Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, wakil dari Impian Kelantan dan Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) Yusri Ahon.

Setakat hari ini, komuniti Orang Asli Gua Musang giat membangunkan semula kawasan blockade yang telah dimusnahkan pihak berkuasa negeri dalam satu operasi minggu lalu.

Ia menyaksikan penahanan sejumlah 54 individu terdiri daripada Orang Asli tempatan. – Roketkini.com