Rencana

Berdoalah rakyat Myanmar tidak tahu tentang konflik Orang Asli di Kelantan

“Mengapa orang kita rasa menolong Rohingya lebih bersyurga kalau Temiar di halaman sendiri diperlakukan sebagai mangsa?”

Ini merupakan petikan asal daripada Faisal Tehrani di dalam bukunya yang bertajuk Bagaimana Anyss Naik Ke Langit. Buku ini mengisahkan bagaimana suku kaum Penan yang ditindas akibat daripada kerakusan penguasa yang merampas halaman hutan mereka. Melihat pada konteks semasa, rasanya perkataan ini amat sesuai untuk saya gambarkan tentang reaksi masyarakat kita dalam menganalisa dan bertindak apabila berlaku penindasan etnik minoriti di Malaysia dan penindasan etnik minoriti di Myanmar.

Kedua-dua kelompok minoriti yang ditindas ini hakikatnya hampir sama sahaja bentuk penindasan yang mereka hadapi. Kediaman mereka dimusnahkan, hak ‘kewarganegaraan’ mereka tidak diiktiraf, sumber ekonomi mereka terjejas dan undang-undang sedia ada tidak menyebelahi mereka.

Namun kenapa reaksi kita berbeza? Apabila bercakap soal etnik Rohingya kita mampu untuk memetik berpuluh ribu ayat tuhan, kita mampu mengumpul berpuluh ribu manusia menuntut pembelaan, kita mampu berjalan berpimpin tangan atas nama persaudaraan. Namun apabila penindasan komuniti minoriti di negara sendiri, rabun benar kita untuk merujuk ayat tuhan, berat benar untuk kita berkata kebenaran, susah benar kita untuk mencari sumber kajian.

“Biasa disayak dibawa ke dulang, biasa diawak ke orang”

Tanpa disedari, kenaifan dan kerancuan fikiran kita telah memakan diri kita sendiri. “Pemimpin negara yang terpalit isu skandal rasuah yang maha besar ada hati mahu mengajar negara kami mengurus manusia!” Mungkin ini yang difikirkan oleh rakyat Myanmar yang mula mempermainkan pemimpin-pemimpin kita di laman sosial mereka. Diam tak terkata kita apabila dipermainkan sebegitu rupa.

Selamat benar kita kerana di Myanmar masih tiada mereka yang mengenal etnik minoriti suku Temiar, yang majoritinya menetap di sebuah negeri yang dikatakan sebagai serambi Mekah (tempat suci untuk penganut agama islam) ini. Terbaca pula oleh mereka bagaimana sebuah pemimpin yang tidak jemu di bibir berkata rahmatan lil alamin mengurus sebuah negeri dan menguruskan etnik minoriti.

Cuba saudara bayangkan di negeri Kelantan yang mahu mengajar negara Myanmar ini sebenarnya merupakan negeri yang paling teruk dalam negaranya membekalkan sumber air bersih kepada penduduk mereka. Merujuk kajian yang dijalankan pada tahun 2011 oleh Persatuan Penyelidik dan Tenaga Malaysia (AWER), purata populasi penduduk Kelantan yang menerima bekalan air bersih hanyalah sekitar 57.0% (hampir separuh!) berbanding di Sarawak, 93.3% dan Sabah, 79.0%.

Bukan dengan masalah ini sahaja, kajian ini juga menunjukkan bahawa bekalan air yang disediakan oleh kerajaan negeri adalah air yang kotor, keruh dan berwarna menyebabkan mereka mencadangkan agar kerajaan negeri melindungi tempat tadahan air yang merupakan sumber air utama kepada penduduk Kelantan.

Manakala dalam kajian kualiti air di sepanjang Sungai Kelantan pada tahun 2013 yang dijalankan oleh Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia dan Jabatan Pengurusan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia, didapati bahawa berlaku pemendapan sungai (TSS) dan turbidity (kekeruhan) akibat daripada perlombongan pasir dan pembalakan hutan terutama di pedalaman Kelantan.

Pencemaran ini menyebabkan berlakunya gangguan ekosistem akuatik dan kandungan air bersih kepada penduduk yang mengunakan sumber air daripada sungai ini. Harus diingatkan bahawa pencemaran ini bukanlah pencemaran kimia atau organik kerana pencemaran air di Sungai Kelantan disebabkan oleh perlombongan pasir dan pembalakan. Ia bukanlah disebabkan oleh sampah sarap ataupun racun daripada aktiviti pertanian!

Kesan daripada pencemaran ini, maka kita dapat lihat bahawa selepas setahun ia dijalankan, iaitu pada tahun 2014, Malaysia menghadapi banjir besar yang mencatatkan lebih 300,000 mangsa telah dipindahkan. Separuh daripada mangsa merupakan penduduk Kelantan. Petempatan penduduk Orang Asli di Gua Musang merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir besar ini.

Peristiwa ini memberi kesan dan pengajaran yang besar kepada penduduk orang asli di Gua Musang sehingga menyebabkan mereka mula bertindak lebih agresif untuk memastikan tragedi ini tidak berulang lagi. Maka tahun ini kita dikejutkan dengan berita kebangkitan lebih daripada 200 orang suku Temiar mengadakan sekatan jalan (blockade) daripada lori balak memasuki kawasan penempatan mereka untuk menjalankan aktiviti pembalakan.

Jangan bawa cerita nabi pada kami. Kenapa kamu tidak susah macam nabi? Kamu susahkan org lain pula. Cuba kamu hidup 24 jam di tempat kami. Minum air kami yg kamu kotorkan. Buat susu bayi kamu guna sungai kami yg kamu cemarkan racun itu. Basuh baju keluarga kamu. Takut nyamuk, takut pacat, atau takut racun?

Ini merupakan surat luahan hati suku Temiar yang ditahan bersama 47 orang temannya kerana melakukan blockade menghalang lori balak. Isu ini cuba sedaya upaya ditutup oleh kerajaan negeri dengan pelbagai cara tipu muslihat yang bodoh.

Semasa banjir besar, mereka menyebarkan kenyataan bahawa rumusan daripada Persidangan Kajian Bencana Banjir 2014 menunjukkan bahawa banjir berlaku oleh kerana taburan hujan yang tinggi bukanlah disebabkan oleh pembalakan. Agak keterlaluan pembohongan yang disebarkan daripada persidangan yang memperuntukkan 20 juta ringgit kepada 1 ribu penyelidik hanya untuk membuat satu kesimpulan yang ringkas dan mudah seperti itu.

Sedangkan, panjang lebar diterangkan langkah-langkah penyelesaian termasuk mengurus sumber alam dengan lebih cekap. Namun bagi Kerajaan Negeri Kelantan, hasil daripada kajian bernilai 20 juta ini hanya bagi membuktikan bahawa mereka tidak bersalah, bencana alam ini merupakan ujian tuhan bukan balasan tuhan.

Apabila suku Temiar mula menentang dengan lebih terbuka selepas bertahun-tahun suara mereka dipinggirkan, sekali lagi kerajaan negeri cuba mengutip dosa sebanyak yang mungkin. Mereka mula menyebarkan berita fitnah bahawa suku Temiar yang ditangkap polis merupakan orang asli daripada Pahang dan Perak bukanlah orang asal Gua Musang. Mereka mula menyebarkan laporan SIRIM QAS International Sdn Bhd tentang pujian kecekapan pengurusan hutan Kelantan yang telah ditarik balik pengiktirafan pada awal bulan ini.

Mereka cuba sedaya upaya untuk membuktikan bahawa 200 orang asli ini bodoh dan mudah untuk ‘orang luar’ menghasut mereka. Mereka juga bekerja keras mengutip segala ayat-ayat tuhan bagi menghalalkan tindakan penindasan mereka. Mereka mula membuka arkib-arkib lama yang sudah berhabuk untuk mencari gambar mereka bersama orang asli demi membuktikan mereka rahmatan lil alamin.

Semua tindakan mereka ini akhirnya hanya menjadi bahan jenaka kepada mahasiswa, ahli akademik, aktivis sosial, ahli politik dan rakyat Malaysia. Akhir kata marilah kita bersama-sama menadah tangan berdoa kepada tuhan supaya rakyat Myanmar tidak terbaca tentang konflik-konflik kaum minoriti di Malaysia supaya kita tidak dijadikan bahan jenaka di pentas dunia. Sudah cukup dengan beban malu kita mempunyai Perdana Menteri yang terkenal dengan korupsi itu. – Roketkini.com

*Jefry Musa ialah aktivis Serikat Mahasiswa