Berita

Kerajaan P.Pinang beri ganjaran RM50,000 kepada Faiz Subri

GEORGE TOWN, 12 JAN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan ganjaran sebanyak RM50,000 kepada Mohd Faiz Subri atas kejayaannya merangkul Anugerah Puskas 2016 dua hari lalu di Switzerland.

Berkongsi kegembiraan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berharap akan lebih banyak jaringan gol dibuat sekaligus meningkatkan tahap permainan bukan sahaja di Malaysia tapi peringkat antarabangsa.

“Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Faiz atas kejayaannnya.

“Sebelum ini, kerajaan negeri telah menghadiahkan RM10,000 bagi sepakan gol pertamanya. Sekarang, kami memberikan lagi ganjaran sebanyak RM50,000 dan berharap beliau akan menjaringkan lebih banyak gol di masa akan datang,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika menyambut kepulangan pemain itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bersama ahli keluarga Faiz dan penyokong.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Rashid Hasnon, Exco Kerajaan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan pegawai-pegawai pengurusan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP). –Roketkini.com