Berita

RUU355 beri nyawa kepada Najib Razak, UMNO dan PAS

KUALA LUMPUR, 11 APR: Semua institusi negara termasuk Parlimen yang seharusnya digunakan untuk melindungi kepentingan rakyat telah disalahgunakan kerajaan UMNO demi kepentingan peribadi pemimpin utamanya, Datuk Seri Najib Razak.

Najib Razak sanggup menggunakan apa sahaja cara demi mengekalkan kuasa termasuk menghancurkan PAS dengan membenarkan Presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul persendiriannya untuk meminda Akta 355 atau rang undang-undang (RUU) 355 di Parlimen.

Bagi Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, usul kontroversi Hadi itu diperlukan PAS untuk kekal relevan selepas parti itu dilihat gagal mentadbir negeri Kelantan dengan baik.

Manakala UMNO yang terjerat dengan skandal melibatkan 1MDB pula memerlukan sokongan akar umbi PAS, tambahnya.

“Jadi, RUU ini adalah penyatuan besar-besaran melibatkan musuh yang kini bertukar menjadi sekutu demi menjaga kepentingan masing-masing. Di sini Najib Razak mempunyai kelebihan dengan sumber dan jentera kerajaan yang ada padanya.

“Dia memecahbelahkan pakatan pembangkang dengan mengambil kesempatan daripada isu panas yang tidak dapat diselesaikan dan peningkatan konservatisme PAS dengan tujuan untuk memanipulasi PAS demi mendapatkan sokongan akar umbi parti itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah menurut Charles, Najib Razak akan menggunakan segala cara yang ada termasuk mengadakan pakatan sulit Barisan Nasional (BN)-PAS untuk menentang Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Dan PAS mungkin akan mengambil tawaran ini kerana mereka mungkin akan mendapat tempat atau habuan dalam kerajaan,” ujar Charles.

Jika taktik UMNO ini tidak berjaya dalam PRU akan datang, menurut Charles, parti Melayu itu akan memutuskan hubungan dengan PAS.

“Akhirnya, semua ini bukanlah mengenai usul Hadi tapi sebenarnya ada kelangsungan hayat (politik) Najib Razak. Tidak jelas mengapa Hadi tidak nampak permainan bayang-bayang ini,” ujarnya. – Roketkini.com