Berita

Kit Siang jangka sepupu Najib Razak ketuai jentera UMNO pada PRU-14

KUALA LUMPUR, 13 APR: Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri dilihat sebagai percaturan Datuk Seri Najib Razak untuk mengekalkan kuasanya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, langkah itu adalah untuk memastikan bahawa Perdana Menteri itu kekal memerintah dengan menyelamatkan dirinya daripada penyingkiran sama ada melalui pilihan raya mahupun pemberontakan dalaman UMNO.

Menurut beliau, Hishammuddin yang merupakan menteri kesepuluh yang dilantik Najib Razak menyertai pasukannya akan menjadi menteri terpenting dalam Kabinet dan didakwa merupakan de facto Timbalan Perdana Menteri – jawatan yang ketika ini disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya menjangkakan Hishammudin akan mengepalai kempen UMNO-BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) demi memastikan UMNO-BN kekal di Putrajaya dan Najib Razak tetap menjadi Perdana Menteri Malaysia,” kata Kit Siang dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, UMNO memerlukan pemimpin baru yang akan mengepalai PRU-14 untuk mengekalkan kuasanya ekoran populariti Najib Razak dalam kalangan orang Melayu dilihat semakin berkurangan.

Justeru, Kit Siang membayangkan pelantikan yang dianggap sesetengah pihak sebagai kudeta (rampasan kuasa) itu sebenarnya dibuat demi mengekalkan kuasa Najib Razak dan bukan sebaliknya dengan menyediakan Hishammuddin yang juga sepupunya sebagai pengganti.

“Siapa yang akan mengetuai UMNO-BN dalam PRU14 jika Najib Razak menarik diri atau dipaksa menarik diri daripada arena politik?

“Jawapannya sangat jelas, itulah sebabnya adanya kudeta semalam,” katanya.

Pelantikan Hishammuddin ke jawatan khas itu diumumkan Perdana Menteri semalam dengan mengekalkan jawatan sedia ada Hishammuddin sebagai Menteri Pertahanan.- Roketkini.com