Berita

Kesetiaan Salleh Keruak hanya untuk isteri Perdana Menteri?

KULAI, 9 MEI: Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mungkin terlupa bahawa Ketua Gerakan Merah, Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju pernah menganggu dan mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap pemimpin Bersih, Maria Chin Abdullah.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching membangkitkan perkara ini selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu mengecam tindakan wartawan yang didakwanya sebagai petugas Sarawak Report yang mengekori isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatannya di London.

Salleh Keruak, dalam blognya semalam, menyifatkan tindakan wartawan yang hanya menjalankan tugas mereka itu sebagai biadap.

“Tetapi Salleh Keruak dengan mudahnya terlupa, ketika Maria Chin Abdullah diganggu oleh Ali Tinju, tidak ada seorangpun pemimpin UMNO yang menegur kelakuan Ali Tinju.

“Jadi saya nak tanya Salleh Keruak, adakah dia fikir bahawa kesopanan dan adab itu terpakai hanya untuk Rosmah sahaja dan bukannya orang biasa seperti Maria Chin?” Soal Nie Ching dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut memetik kata-kata berbaur ugutan yang dibuat Ali Tinju bahawa “Maria tidak akan berjalan di atas bumi” pada September tahun lalu, dua bulan sebelum berlangsungnya perhimpunan aman Bersih 5 di ibu kota.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP mempersoalkan sama ada Salleh Keruak melihat ugutan Ali Tinju itu sebagai berkelas rendah dan biadap seperti yang didakwanya terhadap wartawan berkenaan.

“Adakah Sarawak Report melakukan ugutan fizikal terhadap Rosmah? Tidak. Dan jika ada, pihak berkuasa United Kingdom sudah lama menangkap mereka. Bukan seperti di negara ini, apabila kes (Ali Tinju) diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” ujarnya.

Justeru, menurut Nie Ching, jika Salleh Keruak percaya bahawa semua lapisan masyarakat berhak dilayan secara bersopan dan beradab, dia patut menyertai pihak pembangkang untuk sama-sama menggesa pihak Pendakwaraya membuka semula siasatan terhadap Ali Tinju.

“Jika tidak, Salleh Keruak bukanlah seorang yang bertamadun seperti yang disangkanya, tetapi hanyalah seorang yang taat setia terhadap Rosmah,” ujarnya.

Sarawak Report adalah antara yang terawal mendedahkan skandal 1MDB, yang turut melibatkan suami Rosmah Mansor, Datuk Seri Najib Razak.

Editor Sarawak Report, seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini bagaimanapun menafikan bahawa wartawan yang didakwa mengganggu Rosmah terbabit terkait dengan laman peribadi miliknya itu.

“Tiada kaitan dengan saya Salleh boleh melihat di internet bagaimana rupa saya – atau adakah semua wanita asing kelihatan serupa bagi Salleh?” kata Clare dipetik sebagai berkata kepada Malaysiakini.– Roketkini.com