Berita

Gelagat samseng kasari petugas, wakil rakyat edar kurma dikecam netizen

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Rakaman video insiden samseng sewaktu ziarah Pakatan Harapan di bazar Ramadan Kluang petang semalam yang tular di media sosial terus mendapat kecaman pengguna media sosial.

Melalui kemaskini perkongsian di laman facebook DAP Malaysia, rakaman video itu telah mendapat 6,596 perkongsian, 570 komen dan lebih 446,000 penonton.

Rata-rata melahirkan rasa terkejut, malu dan marah dengan kejadian yang berlaku.

Mereka serta menyifatkan gelagat samseng itu sebagai emosional dan tidak mencerminkan sikap yang wajar.

“Ini bukan perangai orang yang berpuasa. Sabar adalah elemen penting dalam puasa. Lagilah dengan orang yang mahu buat baik. Tiada kaitan dengan Islam dan apatah Melayu. Kerana Melayu adalah bangsa yang hormat orang buat baik, terutama di bulan baik ni,” kata Stujza Maliqu.

ADUN Mengkibol, Tan Hong Pin juga menjadi sasaran samseng,

Pengguna facebook bernama Zzul Abd Kadir pula berkata, “Pengertian puasa kena faham betul betul pak cik…bukan stakat lapar dan dahaga…Kesabaran pun kena jaga.. Ingat tuhan memerhati tingkah laku kita…”

Dalam video itu, rombongan petugas dan pemimpin Pakatan Harapan yang diketuai Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dihalau sekumpulan dua lelaki dengan maki hamun dan bertindak kasar.

Antara yang menimbulkan kekesalan ialah kelakuan seorang lelaki botak yang hilang pertimbangan menjerit-jerit menghalau petugas PH mengedar kurma dengan kata-kata “Lu siapa”, “Siapa kau”, “Keluar”.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Tan Hong Pin juga dijerkah lelaki berkenaan sebelum beredar dengan tenang.

Rakaman itu juga memaparkan tindakan seorang lelaki menolak Pembantu Khas Ahli Parlimen Kluang, Sheikh Omar Ali. 

Lelaki yang mengaku ‘imam’ itu juga cuba ‘menakut-nakutkan’ petugas wanita dengan berkata; “Akak daripada mana? Akak daripada mana….?” sambil jarinya ditunjuk-tunjukkan ke arah petugas tersebut.

Bagaimanapun, situasi tegang itu berjaya ditenteramkan apabila petugas PH bertindak professional dan menghadapinya dengan tegas dan tenang.

Bagi Gulam Rashed Khan, beliau melahirkan rasa simpati ke atas insiden yang menimpa Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dan malu dengan tindakan kasar tersebut.

“Lihat pada air muka YB Liew saya betul-betul rasa dia sedih melihat apa yang berlaku…” katanya.

Ng Kian Hean pula berkata tidak salah untuk berbuat baik dengan siapa juga walaupun berbeza kaum dan perlu hidup dalam harmoni dan hormat menghormati.

Insiden di bazar Ramadan tersebut bukanlah kali pertama berlaku.

Pada tahun 2014, ziarah Pakatan Rakyat ketika itu pernah berhadapan dengan situasi hampir serupa apabila individu yang sama menghalang mereka memasuki bazar tersebut.

Dua laporan polis telahpun dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Kluang malam tadi. –Roketkini.com