Berita

Keluarga dhaif dapat bantuan rumah DAP Keningau

KENINGAU, 12 JULAI: Tiada apa yang dapat menggambarkan perasaan gembira sebuah keluarga dhaif di sini apabila kesusahan yang dihadapi sejak 10 tahun lalu mendapat perhatian DAP Keningau dengan membina rumah baru dengan kadar segera.

Menzahirkan rasa syukurnya, penerima rumah berkenaan, Suil Sumbat berkata dia telah berusaha memohon bantuan rumah PPRT sejak 10 tahun lalau namun permohonannya diabaikan.

Apa yang lebih memilukan, lelaki berusia lebih pertengahan abad yang juga bekas pesakit angin ahmar itu hanya bekerja sebagai petani kecil untuk menyara dua anak yang masih bersekolah dan isteri yang menderita lumpuh akibat kemalangan jalan raya.

Keputusan membina rumah itu telah dibuat oleh Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili melalui program Jejak Kasih DAP Keningau di Kg Ritting, Mukim Apin-Apin itu 25 Mei lalu.

“Keluarga dhaif ini amat wajar di beri bantuan berdasarkan faktor kemanusiaan.

“Keluarga ini adalah di antara insan sekeliling kita yang kurang bernasib baik dan inisiatif membina rumah tersebut adalah di bawah kendalian pasukan Jejak Kasih DAP Keningau, salah satu daripada program Khidmat Sosial DAP Keningau,” kata beliau.

Menurut Peter, bahan-bahan binaan untuk membina rumah baru bagi keluarga berkenaan sebahagian besar adalah sumbangan daripada penyokong-penyokong DAP Keningau.

Selain menjangkau kelompok masyarakat yang terpinggir dan dhaif, DAP Keningau juga sebelum ini telah banyak menjalankan projek dan program-program kemasyarakatan.

Antaranya ialah penambahbaikan infrastruktur kemudahan air melalui sistem air graviti, pembinaan dan pembaikan jambatan, bantuan mangsa banjir, kerja-kerja perparitan, program ekonomi mikro dan sebagainya.

Bagi anda yang berminat untuk memberi sumbangan kepada keluarga Suil Simbat ataupun DAP Keningau bagi program kebajikan dan kemasyarakatan, anda boleh berbuat demikian dengan menghubungi DAP Keningau di talian 087-330726. –Roketkini.com