Berita

DAP bidas UMNO, sampai keturunan pemilik saham Malindo Air pun nak dipersoal?

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: DAP hari ini melahirkan rasa kesal terhadap tindakan UMNO dan pertubuhan yang menyokongnya mempersoalkan keturunan pemilik sejumlah besar saham syarikat penerbangan Malindo Air.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ia sengaja dibangkitkan dua kumpulan terbabit semata-mata untuk meniupkan sentimen perkauman dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Sudah tiba masanya untuk kita berhenti bermain api perkauman semata-mata untuk mengekalkan kedudukan mereka yang berkuasa.

“Adakah wajar kita merasa cemburu dan mendoakan yang buruk hanya kerana mereka bukanlah daripada bangsa atau etnik kita?” soalnya dalam kenyataan.

Pemuda UMNO dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) seperti dilaporkan media mempersoalkan pemilikan 46 peratus saham Malindo Air oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan, Chandran Rama Murthy dan isterinya.

Tindakan itu turut mendapat kritikan bekas Ketua CEO Malaysia Airlines, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

“Kenapa mereka (Pemuda UMNO dan PERKASA) nak kecoh? Mengikut dasar kerajaan, selagi ia dimiliki rakyat Malaysia, ia tidak menjadi masalah tidak kira dia Melayu, Cina atau India.

“Dia rakyat Malaysia, kan? Jadi, tidak ada isu,” katanya dipetik laporan Free Malaysia Today (FMT).

Tambah mengesalkan, kata Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, tindakan kumpulan itu muncul selepas beberapa minggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB).

“Jelaslah bahawa pelan tindakan masyarakat India ini hanyalah bersifat pura-pura kerana isu ketiadaan kad pengenalan membabitkan kaum India masih tidak selesai sehingga kini.

“Malah kini isu pemilikan saham dalam syarikat penerbangan pun hendak dipersoalkan,” katanya. – Roketkini.com