Berita

Kit Siang cadang Jannie Lasimbang dilantik anggotai Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP

KOTA KINABALU, 18 SEPT: Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang akan dicadangkan supaya dilantik menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC), kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Menurutnya, cadangan pelantikan itu akan dibuat selepas isu melibatkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selesai.

“Saya ingin umumkan pada malam ini bahawa saya merancang untuk mencadangkan Jannie Lasimbang supaya dilantik sebagai ahli CEC agar parti kita ini mempunyai seorang pemimpin wanita yang bertaraf antarabangsa.

“Bagaimanapun, ini tidak dapat dilaksanakan ketika ini kerana DAP sedang menghadapi masalah dengan pihak ROS. Oleh itu, cadangan ini akan diutarakan selepas masalah tersebut selesai,” katanya dalam sambutan Hari Malaysia anjuran DAP Sabah, semalam.

Jannie Lasimbang merupakan bekas pesuruhjaya Suhakam dan merupakan salah seorang pengasas pertubuhan berasaskan komuniti, Rakan Kongsi Organisasi Masyarakat (PACOS Trust) selain pernah menjawat sebagai Pengerusi Bersih bagi wilayah Sabah.

Di peringkat antarabangsa, beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung Pakatan Penduduk Pribumi Asia dan Pengerusi Dana Sukarela Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Komuniti Orang Asal.

DAP bakal buka cawangan di kubu kuat Musa Aman

Sementara itu, mengulas perkara lain, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah mendedahkan wujud usaha untuk memburuk-burukkan DAP di Lahad Datu.

“Pagi ini, penyelaras Lahad Datu, Johan Nul memaklumkan kepada saya bahawa di Lahad Datu ada gerak kerja UMNO yang cuba menakut-nakutkan orang Bumiputera berketurunan Melayu dan beragama Islam di Sabah daripada menyertai DAP.

“Mereka memomokkan DAP sebagai kononnya anti-Islam dan anti-Melayu.

“Ini semua adalah fitnah UMNO yang telah digunakan selama berdekad-dekad di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Namun, katanya, segala fitnah yang dilemparkan UMNO itu tidak berhasil dan ini ditunjukkan melalui sokongan berterusan rakyat daripada pelbagai latar kaum dan agama terhadap DAP.

“Ini sebab mengapa dalam beberapa dekad lepas, DAP berterusan mempunyai Ahli Parlimen (termasuk senator), Adun, pemimpin, ahli dalam kalangan orang Melayu dan Islam,” ujarnya.

Katanya lagi, sentimen perkauman dan agama yang kini dimainkan UMNO di Sabah bakal menemui kegagalan yang sama seperti di Semenanjung.

“Ini kali pertama saya mendengar fitnah sedemikian di Sabah.

“Tetapi fitnah dan penipuan seumpama itu akan gagal di Sabah seperti mana di Semenanjung Malaysia, kerana fitnah tidak mampu bertahan jika berhadap dengan realiti semasa apatah lagi dalam era informasi kini.

“Ini sebab mengapa lebih 350 orang Islam Bumiputera telah mendaftar untuk menyertai DAP ketika saya di Sandakan semalam, dan mereka mahu membentuk cawangan di kawasan Sandakan, yang merupakan kubu kuat Ketua Menteri Sabah dan pemimpin UMNO, Tan Sri Musa Aman,” katanya. – Roketkini.com