Berita

Idea ‘kasta’ pentadbiran PAS bercanggah Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan menjunjung semangat tanggungjawab kolektif dan tidak membenarkan pentadbiran negara ini dipisahkan kepada dua bahagian sebagaimana ditegaskan dalam Perkara 43 kata Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.

Menurutnya, tidak wujud pemisahan kuasa dalam peruntukan Perlembagaan yang memisahkan pentadbiran kepada pihak yang merangka dasar nasional manakala satu lagi sebagai pelaksana dasar tersebut.

“Tidak ada bahagian dalam peruntukan ini dipisahkan untuk kabinet yang membuat keputusan mengenai dasar negara manakala yang lagi satu untuk melaksanakan dasar tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas  kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengemukakan idea pemisahan Kabinet antara orang Islam dan bukan Islam.

Menurut Hadi, sekiranya PAS memerintah, pentadbiran kerajaan akan terbahagi kepada dua iaitu Kabinet membuat keputusan mengenai dasar negara iaitu terdiri daripada ‘mereka yang memeluk ideologi dan kepercayaan nasional’ dan pembentukan ‘Kabinet Eksekutif’ yang terdiri daripada orang bukan Islam.

Menurut Ahli Parlimen Puchong itu, cadangan Hadi tersebut bercanggah dan telah menyalahi struktur asas Perlembagaan yang mendokong kesetaraan dan keterangkuman.

“Apa yang perlu kita bina dalam negara ini ialah semangat saling menghormati terhadap semua kaum di mana pentadbiran negara merupakan tanggungjawab kolektif.

“Masa depan negara ini perlu di bentuk dalam konteks itu dan saya rasa itulah yang digambarkan semasa Perlembagaan Persekutuan digubal terutamanya merujuk kepada Perkara 8 dan Perkara 43,” katanya lagi. – Roketkini.com