Berita

‘Kenapa PAS pilih model pemerintahan Taliban?’

Cadangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu memisahkan pentadbiran kerajaan kepada dua bahagian merupakan model pemerintahan Taliban.

Pemerintahan acuan Taliban itu bukan sekadar terbukti gagal malah mampu melahirkan pendekatan ganas dan pertumpahan darah.

Demikian ulasan pegawai penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin.

“Dalam pemerintahan Taliban, memang melaksanakan konsep pemerintahan bahawa orang bukan-Islam berada di peringkat eksekutif sahaja.

“Sudah pasti dianggap ajaib, andai Presiden PAS memilih model kerajaan Taliban, yang bukan sekadar terbukti gagal, bahkan melahirkan pendekatan ganas dan pertumpahan darah,” katanya kepada Roketkini.

Menurut Wan Ji, walaupun mungkin wujud sebarang kelemahan dalam sistem pemerintahan sedia ada, tidak ada lagi sistem politik yang lebih baik selain dari sistem demokrasi.

“Malahan ia (demokrasi) juga diakui oleh majoriti ulama Islam moden pada hari ini.

“Sistem ini, tidak pernah menginstitusikan pembunuhan sepertimana model Taliban dan Khalifah, sehinggakan mereka boleh menuduh yang membangkang sebagai bughah,” katanya.

Pegawai Penerangan Pulau Pinang itu berkata, pertumpahan darah dalam rangka demokrasi selalunya datang daripada mereka yang tidak bertanggungjawab sebagaimana yang dilakukan pengganas Da’esh.

“Mereka (Da’esh) menggunakan alasan  Islam untuk halalkan kejahatan mereka.

“Mengejutkan, apabila Presiden PAS mengambil Model Taliban sebagai bentuk kabinet yang mahu beliau laksanakan, andai mereka membentuk kerajaan di Persekutuan,” katanya lagi. – Roketkini.com