Berita

Setpol Kit Siang harap Najib Razak dibicara secara adil

Peguam hak asasi manusia Syahredzan Johan menzahirkan keyakinan bahawa proses pendakwaan dan perbicaraan ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan dijalankan secara adil.

Menurutnya, keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membenarkan Najib memakai pakaian sendiri dan tidak menggunakan gari amat dialu-alukan.

“Walaupun layanan ini berbeza dengan individu-individu lain yang pernah ditahan oleh pihak berkuasa sebelum ini, saya melihatnya secara positif dan berharap bahawa ini akan menjadi amalan pihak berkuasa untuk kes-kes lain di masa hadapan.

“Seseorang yang ditahan sewajarnya diberi kebebasan untuk memakai pakaiannya sendiri apabila dibawa ke Mahkamah dan bukannya diwajibkan untuk memakai pakaian lokap,” katanya yang juga Setiausaha Politik Lim Kit Siang, dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, pemakaian gari juga tidak sepatutnya menjadi amalan tetap sekiranya individu yang ditahan tidak berbahaya dan tidak akan melarikan diri.

Mengulas perintah tutup mulut (‘gag order’) sementara Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak ke atas pihak media, secara prinsipnya ia bertentangan dengan hak untuk bebas bersuara seperti yang termaktub di dalam Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tambahan pula pendakwaan terhadap Najib merupakan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian dunia dan ia hanya akan menghukum media tempatan dan bukan media luar negara kerana bidangkuasa Mahkamah yang terhad.

Syah menjelaskan, oleh kerana Malaysia tidak mengamalkan sistem juri, laporan media mengenai kes ini sama ada tentang merit atau sebaliknya tidak akan boleh memprejudiskan hak Datuk Seri Najib Razak untuk dibicarakan dengan adil.

“Saya yakin bahawa Datuk Seri Najib Razak akan dibicarakan dengan adil oleh Mahkamah berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan di Mahkamah, dan bukannya dipengaruhi oleh laporan-laporan media.

“Pada masa yang sama, terma-terma perintah sementara tersebut mestilah dinyatakan dengan tepat dan dimaklumkan kepada pihak media dengan kadar segara.

“Ini supaya pihak media jelas dengan batas-batas mereka dalam melaporkan kes tersebut dan supaya mereka tidak melanggar perintah tersebut,” katanya lagi. – Roketkini.com