Berita

Belanjawan 2019 P. Pinang umum bonus setengah bulan gaji

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan bayaran bonus akhir tahun berjumlah setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 untuk penjawat awam.

Menurut beliau, pemberian tersebut akan mula dibayar pada Disember 2018.

“Adalah diharapkan bayaran bonus ini akan meningkatkan semangat penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi pada tahun akan datang.

“Bagi tujuan pembayaran bonus tersebut, yang melibatkan keseluruhan 3,915 penjawat awam, ianya adalah berjumlah RM5.23 juta,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2019 untuk negeri di DUN, hari ini.

Sementara itu, katanya, 1,590 penyelia dan guru KAFA, 270 guru sekolah rendah agama rakyat, 182 guru sekolah menengah agama rakyat serta 572 guru serta staf Sekolah Persendirian Cina akan menerima bonus sebanyak RM300.

Manakala 240 guru tahfiz, guru pondok dan guru TADIS Pulau Pinang, masing-masing akan menerima RM200 setiap seorang dan melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM832,000. – Roketkini.com