Rencana

UMNO main isu agih bantuan zakat untuk tutup penyelewengan institusi Islam

Saya merujuk kepada kenyataan Mufti Pulau Pinang Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bahawa hukum orang bukan Islam mengagihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf adalah “harus”.

Penjelasan mengenai hukum fiqah ini lantas membuktikan bahawa Adun Pulau Tikus Chris Lee tidak berlaku salah apabila hadir untuk menyampaikan bantuan zakat kepada golongan asnaf di kawasannya pada hari Ahad lalu.

Malangnya, Chris telah menjadi mangsa kecaman hebat oleh pihak pembangkang khususnya pemimpin UMNO seperti mantan presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri.

Kenyataan Zahid Hamidi bukan sahaja tidak berasas tetapi jelas berniat jahat dan bertujuan untuk menimbulkan persengketaan di antara kaum.

Walaupun Chris sememangnya bukan orang yang beragama Islam, namun tindakan beliau untuk mengagihkan bantuan itu dibuat dengan hati yang ikhlas. Beliau juga tidak pernah mencuri wang rakyat seperti sesetengah pemimpin yang sanggup menyelewengkan dana Lembaga Tabung Haji, Felda dan YAPEIM.

Daripada menepuk dada kononnya memperjuangkan Melayu dan Islam walaupun tidak berasaskan hukum, adalah lebih baik sekiranya Zahid Hamidi menjelaskan kepada semua rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam mengenai penyelewengan di institusi-institusi yang sepatutnya melindungi hak dan kepentingan orang Islam.

Jelas isu ini sengaja dimainkan untuk tujuan politik oleh sebuah parti pembangkang yang tiada isu dan modal lain sehingga terpaksa mengalih perhatian rakyat daripada penyelewengan yang dilakukan semasa zaman pemerintahan mereka. – Roketkini.com

*Zairil Khir Johari adalah Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Adun Tanjong Bunga, dan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir.