Berita, Rencana

Wanita bukan hamba lelaki, isteri bukan hamba suami

Oleh Nor Miswary Ramli

(Mantan Pegawai Tugas-tugas Khas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)

Wanita bukan hamba lelaki. Isteri bukan hamba suami.

Mereka adalah pasangan hidup buat satu sama lain. Seperti mana seorang suami, isteri adalah pasangannya. Begitu jualah isteri, suamilah pasangannya.

Sebagai pasangan, mereka bukan berfungsi bersendirian, mereka beriringan berjalan. Mereka berfungsi mengurus rumah tangga dan anak-anak bersama. Semasa mengemudi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), mantan Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan mantan Timbalan Menteri, Hannah Yeoh ketika itu mahu memasarkan cita-cita luhur ini. 

Suami wajar menjadi penyumbang dan memainkan peranan membangun dan mengurus rumah tangga secara bersama. Oleh sebab inilah, pada masa itu, tiada istilah wanita perlu bertatahias, bersolek atau berpakaian kemas untuk apa tujuan sekalipun. Tidak ada.

Ketika itu, wanita mahu diangkat dengan bakat dan kemampuan mereka. Menjadi diri sendiri, di mana-mana pun, dalam apa jua keadaan sekalipun, menjadi cantik – bersolek atau tanpa solekan. Manakala, suami bukan lagi pegang watak raja yang hanya duduk bersemayam mengarah itu ini, begitu begini. 

Kita tidak boleh bersetuju dengan istilah “jika pasangan tidak membantu” atau “sesuatu yang bercanggah dengan kehendak kita”, kemudian memberi gambaran isteri akan menyindir atau berleter jika semua itu berlaku. Aneh sungguh jika ini tanggapan yang mahu mereka bina semasa membangun wanita dan keluarga dalam kementerian ini.

Suami tak perlu disogok dengan suara Doraemon merayu dibantu. Suami dan lelaki perlu dididik menolong tanpa perlu ada orang tolong pekik melolong meminta bantuan. Tetapi isunya bukan suara kartun yang mahu dijadikan jenaka. Isu asasnya ialah apabila sampai ke tahap itu idea yang mahu disumbat kepada seorang isteri. Sedih.

Saya khuatir, jika inilah bayangan institusi keluarga yang mahu dicorakkan oleh Menteri KWPKM, Datuk Seri Rina Harun dan Timbalannya, Siti Zailah Yusoff pada masa depan, kita sedang kembali ke belakang. Ya, mereka sedang membawa kita ke belakang. 

Masa depan negara di mana wanita dinilai atas kelayakan, kemampuan dan kebijaksanaan mereka akan hilang. Apakah mereka mahu mengembalikan kedudukan isteri di dapur dan hanya menghias diri untuk memuaskan hati dan selera suami sahaja? – Roketkini.com