Berita, Rencana

KPWKM perlu cakna isu wanita dan keluarga, tunjuk teladan baik

Oleh Lim Yi Wei

(Adun Kampung Tunku)

Saya merujuk kepada siri gambar yang bertajuk “Kebahagiaan rumah tangga dibina bersama: Bagaimana untuk elakkan pergaduhan suami isteri di rumah” bersama hashtag  #WanitaCegahCOVID19 yang dimuatnaik ke laman media sosial Instagram Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 30 Mac 2020, yang telahpun dipadam pada hari ini selepas mendapat bantahan orang awam dan NGO.

Teks yang bermasalah dalam siri gambar itu adalah seperti berikut:

  1. Jika melihat pasangan tidak membantu kerja di rumah, elakkan dari menyindir. Minta tolong, dan beritahu – ada kalanya pasangan kita perlu ‘dimaklumkan’ tugas mereka barulah mereka tahu apa yang perlu dilakukan.
  2. Jika melihat pasangan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak kita, elakkan berleter dan tegur menggunakan nada Doraemon dan diikuti dengan gelak manja barulah tiada pergaduhan di rumah.

Sebagai kementerian yang menjaga kebajikan wanita dan kanak-kanak dan bukannya “geng mak cik bawang”, KPWKM harus lebih peka agar tidak menguatkan stereotaip salah tentang peranan wanita.

Sebaliknya, KWPKM harus menggunakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk mencari jalan penyelesaian atau penambahbaikan kepada isu-isu ini: (1) kebahagiaan rumah tangga sebagai tanggungjawab bersama suami dan isteri; (2) realiti keganasan rumah tangga dalam tempoh PKP; (3) impak Covid-19 terhadap wanita dan keluarga. 

Kebahagiaan rumah tangga sebagai tanggungjawab bersama suami dan isteri

Gambar KPWKM seolah-olah meletakkan tanggungjawab menjaga kebahagiaan rumah tangga ke atas bahu isteri semata-mata. 

Seorang isteri yang meminta bantuan daripada suami yang duduk lengang di atas sofa dianggap sebagai isteri yang kuat meleter. 

Tips” menggantikan permintaan bantuan (yang dianggap “sindiran”) dengan lakonan bernada animasi Jepun “Doraemon” bukan sahaja merendahkan reputasi KWPKM, malah merendahkan martabat suami dan isteri sebagai orang dewasa. 

Sebaliknya, KPWKM harus menggalakkan pembahagian tugas rumah tangga antara suami dan isteri.

Peningkatan panggilan aduan keganasan rumah tangga

Saya kesal bahawa di bawah pimpinan Menteri dan Timbalan Menteri Perikatan Nasional (PN), isu keganasan rumah tangga seolah-olah dipandang ringan. Pada hari pertama PKP (18hb Mac 2020), perkhidmatan talian hayat KPWKM, iaitu Talian Kasih 15999, dihentikan tanpa sebab. 

Talian Kasih hanya diaktifkan semula selepas bantahan NGO-NGO yang membantu mangsa keganasan rumah tangga.

Sejak 14 hari PKP, jumlah panggilan Talian Kasih 15999 telah meningkat sebanyak 57%. Menurut Bahagian Komunikasi Korporat KPWKM, hampir 2,000 panggilan dibuat, kebanyakannya melibatkan penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga, selain kesihatan mental terjejas dan meminta nasihat mengenai Covid-19, sehingga memerlukan tambahan 500 sukarelawan kaunselor bertauliah dari Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM).

Apakah tindakan KPWKM untuk membantu mangsa, misalnya melaporkan kepada pihak polis dan membawa mangsa ke rumah selamat? Sebaliknya, NGO seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Persatuan Tindakan Semua Wanita (All Women’s Action Society – AWAM) nampak lebih membantu mangsa deraan mendapatkan maklumat dan bantuan sepanjang tempoh PKP.

Ini termasuk mencari tempat yang tenang dan selamat dalam rumah bersama anak-anak, memaklumkan orang yang dipercayai tentang penderaan yang berlaku serta menyimpan bukti bergambar kesan penderaan fizikal dalam diari, menyimpan nombor kecemasan dan barangan penting di tempat yang selamat, dan lain-lain lagi.

Impak Covid-19 ke atas wanita dalam jangka masa pendek dan medium

Penularan wabak memberi kesan yang berbeza ke atas lelaki dan perempuan. Dalam pandemik Covid-19 yang mewajarkan kita untuk #DudukDiRumah, wanita semakin terbeban kerana tugasan rumahtangga yang biasanya ditanggung sendirian semakin bertambah berikutan penutupan sekolah, di mana anak-anak kini berada di rumah sepanjang hari. 

Dari segi pekerjaan, wanita mendominasi industri perkhidmatan dan pekerjaan tidak formal yang amat terkesan dengan PKP, sehingga boleh dibuang kerja. Selain itu, risiko keganasan rumahtangga meningkat akibat ketidakstabilan kewangan, ketegangan antara ahli keluarga dan lain-lain tekanan. 

KPKWM harus mengutarakan perspektif wanita, bukan merendahkan atau meremehkan, dalam membuat perancangan dan keputusan dalam usaha Kerajaan Pusat melawan Covid-19.

Dari segi kebajikan petugas barisan hadapan, Kerajaan Negeri Selangor telah pun mewujudkan kolaborasi dengan Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) untuk membuka taska sementara bagi menjaga anak-anak petugas barisan hadapan yang sibuk mengendalikan kes Covid-19. 

Menurut EXCO Kebajikan dan Keluarga Kerajaan Negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud, taska sementara disediakan di bangunan agensi petugas barisan hadapan bertugas seperti di hospital atau klinik dan juga menyediakan peruntukan tambahan dan makanan.

Ini dapat meringankan beban ibu-ibu yang bertugas dalam barisan hadapan.

Akhir kata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) harus lebih cakna isu wanita dan keluarga dan menunjukkan teladan yang baik melalui saluran komunikasi mereka. 

Kepada anak muda lelaki dan wanita yang memiliki rumah tangga sendiri ataupun mengidamkan pada masa depan, saya berharap agar saudara saudari tidak akan mengamalkan tips KPWKM yang lapuk ini, sebaliknya membina rumah tangga yang bahagia berasaskan konsep tanggungjawab bersama. – Roketkini.com