Berita

Usaha bendung Covid-19 perlu penglibatan menyeluruh semua pihak

Kerajaan seharusnya tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKPB) dan membuka semula sektor ekonomi tanpa mengambil kira pandangan semua pihak. 

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Wilayah Persekutuan, Bryan Lew, perkara tersebut sewajarnya dibincangkan terlebih dahulu di Parlimen pada persidangan 18 Mei nanti.

“Perbincangan terperinci berkaitan usaha membendung Covid-19 harus dibawa ke Parlimen yang harus bersidang penuh dan bukannya sehari. 

“Tindakan melaksanakan PKPB secara tergesa-gesa berisiko mewujudkan kluster jangkitan yang baharu,” ujarnya dalam kenyataan, baru-baru ini. 

Setiausaha Publisiti DAP Wilayah Persekutuan, Bryan Lew

Selain itu, katanya, input serta pandangan sektor ekonomi dan orang awam juga harus diambil kira agar garis panduan yang mahu dirangka dapat dihayati oleh semua pihak. 

“Kegagalan memahami SOP serta pelaksanaan PKPB akan mengundang apa yang berlaku pada hari ini, di mana masih terdapat orang ramai yang tidak mengamalkan penjarakan sosial serta mengambil langkah-langkah pencegahan,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini. 

Beliau justeru menggesa kerajaan agar mengkaji semula pelaksanaan PKPB bagi memastikan tidak wujud kluster jangkitan yang baharu di negara ini. 

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPB bermula 4 Mei dengan sebahagian besar sektor ekonomi dibenarkan beroperasi sepenuhnya. 

Bagaimanapun enam negeri termasuk Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah dilaporkan menangguhkan pelaksanaan PKPB dan masih meneruskan PKP. 

Tindakan itu diambil bagi meniliti garis panduan yang ditetapkan untuk memastikan tidak berlaku peningkatan kes Covid-19. – Roketkini.com