Berita

Polis tembak gas pemedih mata, air gatal

Kuala Lumpur 28 Apr – Tepat sejam sesudah bermulanya perhimpunan duduk dan bantah Bersih 3.0 secara rasmi, pihak polis telah menembak kanister gas pemedih mata ke arah peserta himpunan yang terdiri daripada segenap lapisan umur, kaum dan agama yang menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Akaun Twitter rasmi PDRM mengatakan bahawa mereka terpaksa melepaskan gas pemedih mata kerana terdapat cubaan daripada segelintir peserta perhimpunan itu untuk merempuh masuk ke Dataran Merdeka.

Dataran Merdeka sejak petang semalam sudah pun dikepung dengan tiga lapis kepungan beserta lapisan kawat duri bagi menghalang peserta Bersih 3.0 daripada menduduki Dataran bersejarah tersebut.

Sehingga saat berita ini ditulis, polis masih lagi melepaskan gas pemedih mata ke sekitar kawasan Dataran Merdeka, termasuk di Lebuh Pasar Besar dan ke arah Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju SOGO secara rambang.

Sementara itu, di Pulau Pinang, Ipoh dan Kota Kinabalu, perhimpunan Bersih 3.0 dilaporkan berjalan lancar tanpa sebarang ganggu gugat daripada mana-mana pihak. Roketkini.com