Berita

Kongres Kebangsaan DAP 20 Jun depan

Oleh B. Suffian

Kongres Kebangsaan DAP akan diadakan pada 20 Jun depan, kata Setiausaha Organisasinya, Anthony Loke Siew Fook.

Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang bermesyuarat semalam.

Selaras kehendak perlembagaan parti, beliau berkata, notis rasmi berkenaan kongres tersebut akan dihantar kepada semua cawangan parti 10 minggu sebelum tarikh kongres.

“Segala proses penamaan calon untuk pemilihan ke Jawatankuasa Tertinggi Pusat akan diadakan semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kongres pada kali ini jelas Anthony akan diadakan di tiga lokasi iaitu di Shah Alam, Kota Kinabalu dan Kuching secara serentak.

Menurutnya, ini bertujuan untuk memudahkan perwakilan dari Sabah dan Sarawak untuk menghadiri Kongres di negeri masing-masing.

“Ibu pejabat DAP juga akan melantik sebuah syarikat audit bebas untuk mengendalikan proses pemilihan pada hari kongres tersebut,” ujarnya. – Roketkini.com