Kenyataan Akhbar

Apa rancangan dan tindakan KPM untuk bantu sekolah terkesan banjir? – Nie Ching

Kenyataan Media Teo Nie Ching Ahli Parlimen Kulai pada 30 Disember 2021

Dua minggu sudah pun berlalu semenjak banjir melanda di enam buah negeri di seluruh negara. Difahamkan negara kita sedang berdepan dengan musibah banjir yang mudarat dan amat teruk yang tidak pernah disaksikan sejak 1970-an. Lebih memilukan kita telah hilang 48 puluh nyawa insan tercinta. Ribuan rumah, kereta, barangan rumah serta sekolah-sekolah di kawasan banjir turut mengalami kerosakan yang amat teruk. 


Bilangan sekolah yang mengalami kerosakan teruk adalah sangat merisaukan. Saya faham bahawa Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin telah pun melawat beberapa sekolah yang terkesan dengan banjir dan Timbalannya Dr Mah Han Soon telah melawat beberapa sekolah SJKT/SJKC yang terkesan dengan banjir. 


Sudah tentunya, pihak KPM harus bertindak pantas untuk membantu pihak sekolah bagi menilai kerosakan yang telah berlaku. Saya juga ingin menyeru pihak kementerian untuk memberikan bantuan dengan kadar segera kepada mana-mana sekolah yang perlu memandangkan hanya beberapa hari sahaja tinggal untuk sesi persekolahan tahun 2022 untuk bermula. Untuk SJKT, peruntukan penyelengaraan 2021 masih belum dihabiskan, dengan berbaki RM7.98 juta.

Saya ingin menyentuh isu SJKT Pulau Carey Barat, SJKT Dengkil, SJKT Taman Permata,Dengkil, SJKT Ladang Selangor River di mana sekolah-sekolah tersebut antara sekolah yang amat terkesan dengan musibah banjir ini. Justeru itu, saya ingin menyeru bahawa peruntukan penyelenggaran yang sedia ada perlulah disalurkan bagi meringankan beban komuniti sekolah tersebut.


Sekolah-sekolah tersebut telah pun mula meminta bantuan daripada orang ramai dan kerja-kerja pembaikpulihan harus bermula secepat mungkin. Oleh kerana, orang ramai juga menanggung kerugian yang besar akibat banjir, beban pembaik-pulihan tidak harus ditanggung oleh orang ramai dan harus ditanggung oleh kerajaan. 


Gunakan peruntukan RM7.98juta untuk SJKT yang terkesan terlebih dahulu dengan kadar segera.