Budaya

Seni sebagai ejen memulihkan jiwa – oleh Pena Binari

3 JUN – Hasil karya seni datang dari perasaan mendalam jiwa dan emosi sang pencipta.

Mengikut laporan Pertubuhan Psikiatrik Malaysia, sekurang-kurangnya seorang daripada sembilan rakyat Malaysia menghidapi sakit mental – dari kemurungan, gangguan dwipolar hingga skizofrenia.

Semenjak pertengahan 1940-an, seni telah dijadikan sebagai terapi, satu bentuk katarsis untuk memulihkan resah di jiwa.

Sejak zaman berzaman, sebelum psikologi itu ‘diwujudkan,’ seniman-seniman mahu tak mahu terpaksa menghasilkan karyanya – tak kisah lah dalam bentuk puisi, mantera, catan, muzik, tarian atau persembahan dan sebagainya.

Melalui kegiatan kreatif sebegini, sebagai satu proses penyembuhan, masalah kepada penyakit jiwa sekurang-kurangnya dapat diketahui dan mungkin dapat diselesaikan.

Menurut insan seni Fathullah Luqman Yusuf, beliau akui seni adalah salah satu medium untuk memulihkan jiwa.

“Sakit jiwa boleh diubat,” penuh yakin suaranya, menambah, “macam ni lah caranya,” katanya sambil menunjuk puluhan catan-catan canvas yang dihasilkan beliau dan beberapa teman di sebuah bilik kaca di Balai Seni Lukis Negara.

Menurut beliau, pada penghujung 1990-an beliau telah diserang tekanan jiwa, kemungkinan akibat dari penelaahan dan kacau bilau pemikiran beliau ketika itu yang berkecimpung dalam pergerakan seni yang agak agresif.

Walau pun begitu, beliau turut mengakui pendekatan spiritual juga mampu memulihkan jiwa, selain 3M (melukis, membaca dan menulis).

“Tapi kalau bab-bab mengira ni, boleh buat sakit jiwa juga lah,” katanya spontan.

Beliau yang pernah popular dengan muzik bingit Infectious Maggots ini turut mengadakan bengkel lukisan untuk kanak-kanak di bilik kacanya, dengan tujuan mendidik dan mendekatkan kanak-kanak dengan seni, sesuai seperti apa yang dikatakan Thomas Berson bahawa kegiatan seni akan meningkatkan keupayaan kanak-kanak dalam membuat pengamatan dan pentafsiran.

Bagi Caspello D, bekas pesakit mental yang dikategorikan oleh doktornya sebagai menghidap penyakit bipolar mood disorder, beliau juga turut menggunakan medium seni catan sebagai pengubat jiwanya berbanding ubat-ubatan yang diberi doktor.

“Bila aku pegang berus atau pen dan mula conteng, aku rasa amat tenang. Kalau tak dapat pegang alat lukis, mula lah aku stress, meracau,” katanya.

Menurut Arthur Schopenhauer, seorang seniman genius yang menggambarkan diri mereka dalam karyanya dengan jelas dan terang, mampu berkomunikasi secara universal visi mereka kepada orang ramai yang kurang penghayatannya terhadap ‘kuasa seni’ itu yang jauh melangkaui dunia spatiotemporal.

Seperti yang dijelaskan Michel Foucault dalam satu sesi syarahannya mengenai orang-orang ‘kurang waras,’ ahli falsafah itu menerangkan keadaan sebelum ‘gila’ itu diinstitusikan, di mana di dalam mana-mana persembahan teater, orang-orang yang kurang waras ini lah yang akan ketawa atau membaling tomato dahulu sebagai respon terhadap mutu dan jalan cerita teater itu, berbanding khalayak awam normal yang lain.

Dalam aliran sufisme secara umumnya seni, dijadikan bukan hanya sebagai dakwah spiritual, tetapi juga untuk menggerakkan lagi diri menuju ketenangan jiwa manusia.

Kerana itu, tidak hairanlah para ahli falsafah dan doktor psikologi, contohnya Ibnu Sina menggunakan musik untuk memulihkan pesakitnya yang mengalami gangguan jiwa.

Dan sehingga kini, seni (tidak kira dari Homer sehinggalah Justin Bieber) berjaya memecah kesunyian jiwa, walau pun kecil, bak kata Dewa Hades, “umpama habuk di celah kuku,” tetapi sedikit sebanyak membantu jiwa kontang manusia moden.

Penjelasannya atas sekadar cukup untuk menjelaskan secara kasar bahawa seni adalah ejen kepada pemulihan jiwa manusia.

Seperti apa yang dikata oleh penyair TS Elliot, “penyair tidak meluahkan diri mereka melalui puisi, tetapi untuk mengelakkan diri mereka dari kepupusan personaliti.”

Dalam masyarakat Melayu tradisional, mantera – salah satu cabang puisi – turut digunakan untuk memulihkan jiwa atau merosakkannya.

Mantera selalu diguna pakai oleh pawang atau bomoh untuk mengubati pesakit dengan mengutamakan tekanan suara, nada, dan irama tertentu sebagai tunjang perubatan.

Bagaimana pun, katarsis dan terapi seni sememangnya, semenjak 1940-an, telah digunakan sebagai satu kaedah perubatan kepada pesakit jiwa. Malah lebih seratus tahun sebelum itu, Schopenhauer juga mengaitkan seni dengan pembersihan jiwa, satu keinginan naluri manusia yang mana disebut sebagai Wille.

Secara umumnya di Malaysia, telah lama wujud tanggapan yang negatif terhadap ‘pesakit mental’ yang kononnya mereka ini agresif dan ganas, dan stigma ini masih kekal sehingga sekarang.

Dalam ensaiklopedia maya, Wikipedia Bahasa Malaysia, ada mempersoalkan tentang seni: “Setiap orang mempunyai pendapat tersendiri mengenai apa yang boleh dianggap seni; sebagai contoh, adakah seseorang itu boleh menghasilkan seni, sekiranya ia tidak bertujuan sebagai hasil seni? Adakah seni merupakan bentuk luahan seseorang? Adakah hasil seni dianggap seni hanya apabila ia sempurna?” – Roketkini.com