Budaya

Kelmarin- Bahagian II Oleh: Hafiz Zainuddin

CERPEN

Kulop Saidin pandai memukat

Orang kampung memang tahu masa Kulop Saidin masih hidup bila turun memukat di lombong belakang, biasanya akan dapat banyak talapia. Selepas menebar pukat. Sambil-sambil pula dia menjerat wak-wak. Selalu saja nasibnya baik, seronok terlompat-lompat Azizi yang masih kecil bila dilihat seguni wak-wak dibawak balik. Tilapia usah dikatalah.

Sebab itu hairan rasa Sulaiman anak Mak Jah, dia selalu sahaja pergi memukat, taklah banyak hasil semacam Kulop Saidin. “Entah apa ilmu Pak Kulop tu pakai tangkap ikan” kata Sulaiman di dapur sambil-sambil menolong Mak Jah mengupas kelapa. “Rezekikan masing-masing. Apa nak di hairankan.” ujar Mak jah.

Kalau tidak ke lombong belakang, paling-paling Kulop dengan Datsun merah tuanya memukat di Batu Gajah. Kadang-kadang diajaknya juga Sulaiman yang ketika itu masih bujang tak bekerja. Mau juga Sulaiman mengikut.

Hasil tilapia dari lombong biasanya akan di bawa ke pasar Manjoi, tapi Kulop tak pernah lupa beri barang seekor dua tilapia pada Darus dan Mat Som. Jiran dan sahabat baiknya. Bila tahu Kulop balik memukat, kadang-kadang Kak Senah Herot akan datang ke rumah Teh Jariah untuk membeli tilapia kalau anak-anaknya balik dari Kuala Lumpur. Kalau bernasib baik, dapatlah seekor dua baung dan belida. Suka sangatlah kak Senah Herot.

Semuanya sudah jadi kenangan. Terakam dalam masa dan sejarah. Kulop telahpun pergi menghadap tuhan kira-kira 15 tahun lepas akibat batuk berdarah. Kata Pak Aji Bomoh, Kulop ‘dibuat orang’, tapi kata doktor hospital, dia sakit TB. Teh Jariah redha sahaja. Sudah takdir suaminya mati dahulu.

Bila diingat-ingat akan perihal Uteh yang lancang mulut. Tak tersangka oleh Teh Jariah boleh tergamak Uteh mengungkit peristiwa kematian suaminya.

“Uteh…kamu memang tak berhati perut.” bisik hati kecil Teh jariah.

Pembangunan Kampung Manjoi

Pembangunan kampung Manjoi dalam 10 tahun kebelakangan ini nampak rancak. Apalagi wakil rakkyatnya salah seorang Timbalan Menteri Kewangan III. Saban tahun, jalan berlopak ditampung, jalan yang kecil dilebar-lebarkan, parit menjadi longkang konkrit, beberapa lot rumah kedai telah pun dihuni. Senang kata, Manjoi tidak serupa lima belas atau dua puluh tahun dulu. Kampung pinggir bandar Ipoh ini makin meriah, makin rancak.

Rumah-rumah kedai sudah pun dibuka, mudahlah nanti orang kampung nak berurusan, ke bank dekat, ke klinik dekat, ke pejabat pos dekat, nak beli kasut baju sekolah anak juga dekat, ke mamak juga dekat; boleh dikatakan mudahlah nak berurusan. Tak lagi perlu ke pekan Silibin, ke Ipoh pun kalau-kalau ada urusan penting saja.

Mesyuarat JKKK

Boleh dikatakan setiap minggu Uteh mempengerusikan mesyuarat JKKK. Semenjak kebelakangan ini, orang-orang kampung tak senang benar dengan kes curi motor yang makin berleluasa. Baru kelmarin sahaja, motor anak Ghani Petai hilang. Tak sampai sebulan baru dibeli Honda EX5 hasil gaji bekerja di kilang plastik di Silibin, sudah lesap disapu orang.

Dalam mesyuarat kali ini, hampir semuanya ahli jawatankuasa melahirkan rasa gusar dan marah dengan masalah kecurian motor yang makin menjadi-jadi. Cubalah bayangkan, dalam tidak sampai sebulan, tidak kurang tiga buah motor yang hilang dicuri.

“Tengoklah Uteh, kamu tau, Sharif dan Saipul anak Pak Lang Kompang dua-dua dah main dadah. Belum lagi yang lain-lain. Inilah masalahnya mak bapak tak tau jaga anak. Belajar sekolah malas, bila kerja main-main.” kata Rodhi salah seorang AJK.

“Ye saya tau tu. Saya dah bincang dengan YB. Dia kata elok buat masa ni kita buat kawalan malam. Kita ada Rela, ada polis. Mereka boleh bantu kita juga buat ronda jaga malam. Sekarang ni kita kena kumpul seberapa ramai orang muda kampung ni. Kita lantiklah salah seorang mereka jadi kepala, tak larat saya yang nak buat semua…

“Pasal elaun jangan risau, saya akan uruskan dengan YB. Katanya peruntukan DUN ada lagi, saya akan bagi tahu dulu anak saya supaya boleh dia bincangkan dulu dengan YB.” kata Uteh.

Keputusan untuk berkawal malam itu dipersetujui semua ahli jawatankuasa. Tak ada membantah. Bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.”

Ramlah bersalin

Kemana-mana sahaja Uteh akan disapa orang, siapa yang tak kenal Uteh. Ramai juga yang dibantunya. Baru-baru ini, dia sendiri yang kejarkan Ramlah ke hospital bila nak bersalin. Tak sempat lagi nak menunggu suaminya Dolah sebab air ketuban dah pecah. Nak dibuat macam mana lagi. Takkan nak dibiarkan.

Suaminya Ramlah pula tidak ada dirumah. Nak dipanggil Bidan Som, dia dah tak larat membidankan orang. Terpaksalah juga berkejar anak dara ramlah Isha ke rumah Uteh memandangkan rumahnya tak sampai pun tiga tiang elektrik. Jiran terdekat yang lain tak ada kereta. Kalau ada pun, tak ada di rumah.

“Laki kamu tu tak guna. Dah tau kamu nak beranak dia keluar jauh-jauh.” ujar Uteh semasa membawakan Ramlah ke hospital Ipoh. Ketika itu Ramlah cuma senyap. Isha tunduk saja  menemankan ibunya disebelah.

Dolah suaminya Ramlah pergi ke Lenggong dua hari menemankan sahabat baiknya Ramli mengutip durian di dusun. Adlah dalam enam ekar. Elok tak sampai semalaman di Lenggong, Ramlah dah nak bersalin. Bukannya Dolah tak risau, bila temankan Ramli mengutip durian yang akan dijual kepada taukeh Soh di pasar Ipoh, dapatlah upahnya buat belanja bersalin si Ramlah nanti.

Azizi jadi Ketua Pemuda PAS

“Nasib baiklah aku hantar, kalau tak jasa aku, tak taulah nasib si Ramlah. Anaknya pulak songsang. Mujurlah tak jadi apa-apa yang tak elok.” sembang Uteh masa di warung simpang dengan kawan-kawan minum petangnya termasuklah si Rodhi AJK.

“Hmmm…pelik betul perangai Dolah tu. Dah tau bini nak beranak pun boleh dia keluar jauh-jauh. Eh, Uteh, kamu tau ke yang anak sedara kamu Azizi dah jadi ketua pemuda PAS Manjoi?” soal Pak Do Mat.

Berkerut dahi Uteh. “Tak tau pulak aku. Ingatkan jadi balaci pasang bendera saja. Sekarang dah jadi Ketua Pemuda pulak? Eloklah tu, bapak dengan anak sama saja. Sekarang dah jadi Ketua Pemuda, tak sedar diri dok berkawan dengan kafir harbi DAP tu. Aku bapak sedaranya pun dah lama jadi Ketua Kampung depa tak pandang pun. Nanti bila susah taulah pulak nak cari aku.”

Langit makin jingga, waktu Maghrib semakin hampir. Angin sejuk tidak berhembus seperti hujan hari kelmarin. Uteh dan lain-lain sudah pun beransur pulang ke rumah. Warung simpang akan penuh semula malam nanti.-roketkini.com