Berita

“Memperkasa Masyarakat Tempatan” tema Belanjawan Alternatif PR Sabah

KUDAT,14 NOVEMBER: Pakatan Rakyat (PR) Negeri Sabah mencadangkan Belanjawan Alternatifnya yang mampu mengeluarkan negeri itu daripada terus ketinggalan.

Belanjawan bertemakan “Memperkasakan Masyarakat Tempatan”, PR Sabah mencadangkan lima teras penting yang mampu memenuhi kesinambungan pembangunan dan ekonomi rakyat serta negeri yang jauh lebih baik berbanding Belanjawan 2013 kerajaan BN negeri itu.

Ini berikutan pengurusan dan pentadbiran kerajaan BN Sabah yang kucar-kacir dengan pelbagai penyelewengan termasuk skandal RM40 juta membabitkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Antaranya memperuntukkan RM50 juta untuk sekolah vernakular, bantuan kerajaan, dan persendirian berbanding kerajaan BN Sabah yang hanya memperuntukan RM12.9 juta.

Dalam kenyataan medianya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, Belanjawan Alternatif PR Sabah mencadangkan peruntukan RM50 juta kepada pertubuhan bukan Islam dan RM100 juta kepada pertubuhan umat Islam.

Ia termasuk RM3 juta untuk membiayai 300 umat Islam menunaikan Haji ke Makkah membabitkan pembiayaan RM10,000 seorang.

“Berbanding kerajaan BN Sabah yang hanya memperuntukkan RM18 juta untuk badan keagamaan bukan-Islam walaupun Musa Aman mendakwa menyediakan “peruntukan besar untuk badan keagamaan bukan-Islam,” katanya.

Menurut Kit Siang yang juga Ketua Parlimen DAP, perkara itu adalah respon daripada lima teras Belanjawan Alternatif 2013 PR Sabah.

Beliau juga menyenaraikan empat teras membabitkan 13 cadangan khusus antaranya bantuan RM2,000 kepada setiap pelajar yang melanjutkan pengajian ke universiti di bawah Skim Graduan Anak Sabah.

Insentif itu dijangka membabitkan perbelanjaan RM14.4 juta dan memberi manfaat kepada kira-kira 7,200 pelajar.

Belanjawan 2013 PR Sabah juga memperuntukkan  RM50 juta untuk biasiswa kepada pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan guru di universiti dalam negeri.

Bantuan permulaan sebanyak RM20 juta disediakan untuk menubuhkan Sabah TV bagi menghasilkan program untuk mempamerkan pelbagai warisan budaya negeri ini.

Menurut Kit Siang, empat teras lain Belanjawan Alternatif PR Sabah membabitkan 30 lagi cadangan untuk memastikan kekayaan Sabah diagihkan dengan saksama kepada semua golongan terpinggir untuk dikeluar daripada kemiskinan.-roketkini.com