Rencana

PRU-13: Rakyat Perak bangkit tebus maruah Oleh Hafiz Zainuddin

TANAH negeri ini ramai melahirkan tokoh pejuang. Siapa yang tidak tahu mengenai ‘orang gunung’, yang amat digeruni penjajah British satu ketika dulu. Ini adalah negeri di mana JWW Birch mati ditikam Si Puntum ketika mandi di Sungai Perak. Ini negeri yang terkenal dengan durian Bota yang lazat. Inilah Perak Darul Ridzuan, negeri yang tak pernah putus mencatatkan sejarah.

“Demokrasi telah mati” (Paul Kingsnorth). Rakyat Perak sama sekali tidak boleh melupakan saat tumbangnya kerajaan yang dipilih secara sah pada PRU-12 pada 2008. Barisan Nasional (BN) menguasai semula Perak pada 5 Februari 2009 dengan jalan cara tidak bertamadun membelakangi perlembagaan.

Bukan saja dikhianati, rakyat Perak menjadi mangsa momokan api perkauman dan agama yang dicanang UMNO segenap pelusuk kampung, segenap pelusuk pekan.

Rampasan kuasa Perak adalah sebuah titik hitam dalam sejarah Malaysia yang membuktikan “segalanya adalah mungkin”. Inilah harinya institusi kehakiman negara gagal berfungsi dalam memberi keadilan yang sepatutnya. Justeru, tarikh ini juga memperlihatkan bagaimana BN menggunakan institusi istana yang mencalit arang ke atas perlembagaan negeri. Inilah tarikh suara rakyat dikhianati.

Apa BN beri pada rakyat Perak?

Kalau dulu, BN kecundang mengejut, kita tidak boleh menolak kemungkinan mereka akan terus kecundang atas kebobrokan dan kerakusan kuasa menjarah harta negeri dan rakyat. Itulah matlamat utama mereka. Sudah menjadi amalan UMNO-BN untuk mengkayakan anak-pinak dan kawan sendiri berbanding rakyat.

Ketika membahaskan Belanjawan 2012 Perak yang dibentangkan Menteri Besar tidak sah Zambry Abdul Kadir, Setiausaha DAP Negeri Perak, Nga Kor Ming berkata, negeri Perak telah mencatatkan belanjawan defisit setinggi RM50.14 juta yang mana ia adalah yang tertinggi sepanjang tiga penggal beliau berada dalam sidang Dun.

“Kalau dibandingkan dengan 2011, defisit RM50.14 juta merupakan satu peningkatan mendadak sebanyak RM20.45 juta. Paras hutang negeri kini mencipta sejarah paling teruk dengan jumlah hutang negeri meningkat kepada RM975 juta setakat 15 November 2011. Ia satu pertambahan sebanyak RM72 juta dalam tempoh 12 bulan berbanding jumlah hutang pada 2010 yang berjumlah RM903.8 juta,” ujar beliau.

Tambah beliau, perkara paling membimbangkan, hutang negeri mencatatkan peningkatan 535 peratus dari RM182 juta pada 2000 kepada RM975 juta pada 2011.

Berbeza dengan pentadbiran kerajaan PR Perak sebelum dirampas. Rakyat terbanyak mendapat santunan terbaik dengan pemberian geran tanah melangkaui batas bangsa dan agama. Kepentingan utama adalah hak rakyat dan bukan hak segelintir taukeh Cina yang menjadi kawan baik, kroni rapat UMNO-BN.

Krew Roketkini.com dan The Rocket mengambil kesempatan memanjangkan langkah ke Perak untuk melihat sejauh mana aspirasi rakyat Perak dalam pilihan raya umum 5 Mei akan datang selepas rampasan kuasa 5 februari 2009.

Ikuti perkembangan terkini DAP dan PR Negeri Perak dalam berita dan rencana seterusnya memberi fokus kepada persiapan pilihan raya parti mendepani cabaran dan rintangan demi mendaulatkan undang-undang dan mengangkat martabat rakyat.-Roketkini.com