Berita

Jumlah kakitangan awam di Malaysia tertinggi di dunia: Kit Siang

KUALA LUMPUR, 24 OKTOBER: Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Parlimen mendedahkan perkara baru iaitu jumlah kakitangan awam di Malaysia adalah yang tertinggi di dunia iaitu sebanyak 1.4 juta orang atau 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja dalam negara.

Pendedahan itu menunjukkan hala tuju negara yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan slogan “Endless Possibilities” bahawa negara yang mempunyai nisbah kakitangan awam-penduduk tertinggi di dunia semakin bergantung kepada perunding asing berbanding pakar dalam negara bagi merangka dokumen dan pelan induk negara.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pada 2009, nisbah kakitangan awam-penduduk di Malaysia adalah yang tertinggi di Asia-Pasifik, iaitu 4.68 peratus berbanding 1.4 peratus bagi Singapura, 1.79 peratus bagi Indonesia, 1.85 peratus bagi Korea Selatan dan 2.06 peratus bagi Thailand.

Anehnya, katanya, walaupun mempunyai nisbah kakitangan awam-penduduk antara yang tertinggi di dunia, Malaysia semakin bergantung pada perunding asing walaupun hanya untuk merangka dokumen dan pelan induk negara.

“Baru-baru ini negara dikejutkan dengan pendedahan mengenai perbelanjaan RM20 juta kerajaan untuk membayar perunding antarabangsa McKinsey and Co bagi merangka Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan sedangkan pada masa lalu semua rancangan negara, pelan induk, dan dokumen rasmi disediakan pakar tempatan.

“Berikutan itu, saya meminta Perdana Menteri menyenaraikan “semua laporan, pelan induk, atau dokumen rasmi yang ditugaskan penyediaannya oleh kerajaan kepada perunding asing sepanjang 10 tahun lalu seperti mana Pelan Induk Pendidikan yang ditugaskan penyiapannya kepada McKinsey & Co., selain mendedahkan identiti perunding asing terbabit dan kos bagi setiap tugasan,” katanya dalam kenyataan media, di Parlimen semalam.

03.06.13-LKS-ceramah kluang-perjuangandi teruskan (10)Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah kesal kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim gagal dalam jawapan bertulis memberi respons memuaskan, termasuk judul laporan dan nama perunding terbabit, serta kos bagi setiap laporan.

Menurutnya, Shahidan hanya memberi jawapan umum mengenai kos yang ditanggung Jabatan Perdana Menteri yang menggunakan khidmat perunding asing dalam menyediakan beberapa laporan dan pelan induk kebangsaan iaitu sebanyak RM3.313 juta pada 2008, RM17.751 juta (2009), RM20.134 juta (2010), RM71.904 juta (2011), RM84.535 juta (2012) dan RM18.349 juta (2013).

Beliau berkata, jawapan itu dipertikaikan kerana ada perkara yang ingin disembunyikan kerajaan apabila tidak menjawab soalan yang amat jelas iaitu apakah judul “semua laporan, pelan induk, atau dokumen rasmi yang ditugaskan penyediaannya kepada perunding asing sepanjang 10 tahun lalu dan nama perunding yang terbabit, serta kos bagi setiap laporan.

Kit Siang berkata, kerajaan membelanjakan RM212.5 juta sejak lima tahun lalu untuk perunding asing menyediakan laporan, rancangan induk dan dokumen rasmi yang jarang sekali dilakukan lima Perdana Menteri sebelum ini.

“Nampaknya dalam tempoh 52 tahun di bawah pentadbiran lima Perdana Menteri terdahulu, kita lebih yakin kemampuan rakyat Malaysia berbanding perunding asing untuk memikirkan dan merancang masa depan negara ini, sama ada dalam bidang ekonomi atau pendidikan, kerana amat jarang sekali perunding asing dilibatkan dalam penyediaan rancangan induk negara,” katanya.

Katanya, persoalan lebih penting, mengapa kerajaan Najib enggan mendedahkan judul semua laporan, pelan induk, atau dokumen rasmi yang ditugaskan kepada perunding asing serta nama firma perunding yang terbabit, selain kos bagi setiap tugasan.

Sehubungan itu, beliau meminta Shahidan tidak mengambil tindakan yang berlawanan dengan semangat berparlimen dengan mengelak daripada menjawab soalan berkenaan.-Roketkini.com