Rencana

Banglo Exco Selangor, budak dalam sangkar dan semangat agama – Al-Mustaqeem M Radhi

Petang Jumaat lalu saya membuat satu kiriman Facebook tentang banglo di Perkampungan Exco Selangor di Seksyen 7, Shah Alam. Projek yang dijalankan kerajaan BN sebelum mereka dijatuhkan oleh rakyat Selangor itu menelan biaya RM20 juta dan tidak dimanfaatkan kerana Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat enggan menduduki perkampungan mewah itu.

Diberitakan, kerajaan PR Selangor terpaksa membelanjakan lebih RM6 juta untuk kos penyelenggaraan selama enam tahun. Bermakna sejuta ringgit setahun dibazirkan untuk bangunan kosong.

Berita itu menimbulkan beberapa persoalan. Antaranya, secekap manakah kerajaan negeri PR kalau masalah satu perkampungan yang telah siap, tersergam indah, gagal dimanfaatkan dalam masa enam tahun.

Lalu, kiriman FB petang Jumaat itu melontarkan beberapa buah fikiran secara sekali lalu, dengan tujuan memancing buah fikiran daripada pengguna-pengguna FB yang lain.

Mungkin kerana saya tidak popular atau tidak pandai ber-FB, atau persoalan yang dilontarkan itu tidak menarik, maka tidak banyak komen diterima.

Ada antara komen itu setuju kalau perkampungan itu diserahkan ke tangan perkumpulan anak muda yang selama ini ‘merempat’ tanpa pusat kegiatan walaupun telah agak lama bergiat menggerakkan program kemasyarakatan.

Bagi saya itu yang sebaik-baiknya, namun peluang itu harus dibuka menerusi proses dan sikap yang jelas. Misalnya, para penerbit buku ‘indie’ yang makin bercambah, atau kumpulan ‘diskusi sambil lepak’, harus mengemukakan kertas konsep yang, antara lain, menjelaskan rancangan mereka untuk di suatu tahap bergerak secara mandiri tanpa bergantung pada bantuan premis kerajaan negeri.

“Sikap yang jelas” pula bermaksud, kerajaan negeri jangan cuba untuk menyekat kebebasan anak muda secara sembarangan. Hampir nescaya bahawa anak-anak muda akan melakukan perkara-perkara yang ‘di luar norma’, khususnya norma golongan tua.

Di antara komen yang saya terima itu ada satu yang seharusnya saya telah jangka akan muncul, namun tetap saya merasa kurang senang.

Menurut tuan komen, lebih baik perkampungan exco itu digunakan untuk sesuatu yang keislaman dan keagamaan. (Komen itu saya hapuskan supaya tidak timbul aib pada tuannya setelah orang membaca rencana ini.)

Padahal tidak kurang pusat keagamaan di negara ini. Shah Alam itu sendiri digelar “Bandaraya Islam”. Hanya yang mungkin kurang adalah masjid-masjid yang tidak menggunakan khutbah Jumaat untuk menghalalkan GST.

Komen itu dan tuannya tidak aneh. Seakan telah menjadi lumrah sekarang, hanya yang keagamaan dan keislaman dianggap sebagai kebajikan.

Justeru itu tidak sukar sama sekali untuk kita mengutip derma bagi pembinaan masjid; yang lebih sukar ialah mengutip derma untuk membina pusat kucing terbiar.

Padahal, cukup banyak perkara lain yang amat mendesak dan memerlukan perhatian kita. Dalam rencana ini, saya hanya ingin mengungkit satu kes yang mungkin boleh diselesaikan dengan cara memanfaatkan bangunan-bangunan kosong milik kerajaan negeri.

Saya pernah dan masih membuat kerja gila dengan cuba membantu kawan mencari derma untuk projek pusat “autisme”.

Masalah autisme di Malaysia dan mana-mana negara lain di dunia ini cukup berat (sila google untuk maklumat lanjut). Keluarga yang mempunyai anak penghidap autisme ini berdepan dengan kemungkinan-kemungkinan mengerikan, antaranya:

– Ibu atau bapa hilang kerja
– Ibu atau bapa hilang akal
– Putus hubungan keluarga
– Anak mati jatuh bangunan, atau lemas, atau dilanggar lori

Semua kemungkinan itu real dan sengaja saya sebutkan secara kasar untuk memudahkan pemahaman.

Sememangnya hakikat autisme adalah kasar. Satu kes di Sanglang, Kedah, misalnya, seorang anak autistik dikurung dalam sangkar kerana ibu-bapa tidak mampu mencari jalan keluar walaupun sudah habis fikir.

Kes kurung dalam sangkar di Sanglang itu bukan satu-satunya yang pernah dilaporkan.

Jangankan di kawasan kampung, di kawasan bandar pun pusat autisme jauh daripada cukup. Kosnya pula nauzubillah, tak terjangkau oleh kebanyakan ibu-bapa.

Lalu kawan saya itu cuba membina satu model pusat autisme kos sederhana atau rendah. Sampai ke hari ini dia masih berhempas-pulas.

Bukan hanya dia, banyak lagi usaha membantu golongan kurang bernasib baik mengharung payah kerana ia tidak ‘keagamaan’.

Jadi saya hairan apabila pantang ada sedikit banglo kosong kita mahu menambah tadika Islam dan ma’had tahfiz. Padahal, kerap juga kita membaca surah yang mencela kaum yang mendustakan agama dengan tidak mempedulikan anak yatim dan orang miskin.