Berita

Hormati undang-undang untuk atasi masalah antara-agama – Ngeh

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham berpesan agar semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan dalam menangani masalah perbezaan antara agama.

Berbahas di Dewan Rakyat semalam, beliau mengulas beberapa isu antara-agama yang timbul pada tahun ini, seperti perebutan hak penjagaan anak dan tindakan ke atas Muslim bermazhab Syiah.

“Dalam perebutan anak bagi pasangan bercerai… untuk anak berumur 18 tahun ke bawah, penjaga boleh mendidik mereka mengikut agamanya. Selepas 18 tahun, anak-anak bebas memilih agama masing-masing,” katanya merujuk kes perebutan anak antara M Indira Gandhi dengan bekas suaminya, K Pathmanaban atau Mohd Ridzuan Abdullah.

Pada April 2009, Ridzuan menukar agama anak-anaknya – Tevi Darsiny, 12 (ketika itu), Karan Dinesh, 11 dan Prasana Diksa, 11 bulan – kepada Islam tanpa pengetahuan ibunya.

Setahun kemudian, Mahkamah Tinggi menyerahkan hak penjagaan tiga anak pasangan itu – Tevi Darsiny, 16, Karan Dinish, 15 dan Prasana, 3 – kepada Indira dan mengarahkan mereka dikembalikan.

Namun sehingga kini, Ridzuan masih belum memulangkan Prasana kepada ibunya.

Selain itu, beliau turut mengulas tindakan yang dikenakan kepada Muslim bermazhab Syiah yang hangat sebelum ini.

“Saya kalau boleh tak ingin bercakap, tak selesa bercakap tentang Islam. Tetapi di Malaysia ada Sunni dan Syiah, mengapa tindakan dikenakan kepada Syiah? Ini mewujudkan perseteruan,” katanya.

Muslim bermazhab Syiah sering diburu penguasa agama, antaranya seramai 114 individu, termasuk pemimpin Syiah Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz ditahan Jabatan Agama Islam Perak dalam satu acara 8 Mac lalu.

Beliau memetik Artikel 11 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang antaranya menyatakan setiap individu berhak menganut dan mengamalkan agamanya.

“Semua berhak amal agama mereka. Saya harap (Muslim) boleh terima, sepertimana kita terima agama selain Islam tidak boleh disebarkan kepada Muslim.

“Saya harap kebebasan beragama, serta sikap saling menghormati antara agama ini dapat terus digalakkan. Kalau kita semua hormat Perlembagaan dan undang-undang, semua masalah ini boleh diselesaikan dengan baik.

“Jika dibiar berlanjutan, ia tidak sihat untuk negara kita,” katanya lagi. -Roketkini.com