Rencana

Kebebasan akademik di institut pengajian tinggi Malaysia semakin parah

Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Felo Penyelidik Kanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Universiti Malaya, berkuatkuasa hari ini sebagai bantahan terhadap peletakan jawatan Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman sebagai pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel).

Menurut laporan media, Pengarah UMCEDEL telah diarah oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk meletak jawatan. Ini mungkin ekoran kajian-kajiannya sebelum ini yang tidak disenangi pemerintah sekarang – kerajaan BN.

Dato’ Saifuddin menyatakan prinsip kebebasan akademik sebagai alasan peletakan jawatan beliau:

“Atas prinsip kebebasan akademik dan solidariti, saya letak jawatan sebagai felo penyelidik kanan UM hari ini. Ia berkaitan kes menimpa Dr Redzuan.”

Amat menarik untuk diperhatikan betapa jelasnya cengkaman parti politik ke atas pentadbiran IPT. Ini bukan sahaja membunuh jiwa pendidik yang ingin menyumbang kepada masyarakat tetapi juga meneruskan kitaran pembodohan di universiti tempatan buat mengekalkan status quo.

Tindakan ini bukan sahaja terjadi di UM malah universiti lain untuk mendiamkan pensyarah-pensyarah, selain AUKU dan Akta Hasutan yang menyekat kebebasan mahasiswa-mahasiswi.

Perkembangan mutakhir ini sekaligus membuktikan pemberian autonomi kepada 5 buah IPT ketika DS Mohamed Khaled Nordin memegang portfolio Menteri Pengajian Tinggi hanyalah penjenamaan kosmetik.

Kebebasan akademik dikekang dan mahasiswa/i dikongkong untuk beraktiviti di luar lingkungan ‘yang dibenarkan’. Selama pemerintahan Barisan Nasional lebih 50 tahun, mahasiswa/i telah didoktrin dan dirampas kebebasan berkegiatan dengan bermacam peraturan oleh pentadbiran universiti.

Mereka ditakut-takutkan untuk keluar dari ruang universiti dan hanya belajar mengikut silibus yang ditentukan untuk mendapat segulung ijazah dan kerja. Upaya-upaya seperti ini tidak menggalakkan budaya berfikir kerana dianggap akan membahayakan kerajaan.

Bukan itu sahaja, sehingga kini sejak tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji semula pelaksanaan dasar pelajaran kebangsaan telah gagal untuk mencapai tujuan, antaranya untuk menumpukan sumber berkemahiran demi kemajuan dan pembangunan negara dan menekankan sisi pendemokrasian pendidikan.

Setelah 35 tahun, walaupun pelbagai penyata/laporan diterbitkan, sehinggalah yang terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) dan Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025), sistem pendidikan kita masih lagi tidak mampu dibanggakan.

Malah, baru-baru ini kedudukan Malaysia terkeluar daripada senarai universiti awam terbaik global.

Menurut Times Higher Education Asia University 2014, tiada universiti tempatan masuk senarai 100 terbaik dan Thailand turut berjaya yang dianggap oleh Times Higher Education sebagai negara Asia Tenggara yang mempunyai industri pengajian tinggi besar. Kementerian Pendidikan menerima RM38.7 bilion pada 2013 dan ditingkatkan kepada RM54 bilion tahun ini, bajet terbesar yang pernah diterima dalam sejarah kementerian itu. (Malaysian Insider, 19 Jun 2014)

Persoalannya, sejauh mana belanjawan yang diberikan ini menjamin prestasi sistem pendidikan di negara ini?

Adakah belanjawan ini dilorongkan untuk prasarana dan ICT, jika demikian bagaimanakah keadaan sekolah-sekolah di Sabah, Sarawak, dan kawasan pedalaman di Semenanjung Malaysia lainnya?

Adakah kemerosotan ini merupakan manifestasi sistem pendidikan yang tidak demokratik?

Semua persoalan ini perlu dikupas dengan segera oleh semua kita.